Sabah mencatatkan antara negeri terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan antara negeri terbaik yang telah merekodkan peratusan tinggi dalam usaha membanteras gejala rasuah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ia telah dibuktikan menerusi satu kajian yang telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya dimaklumkan, berdasarkan hasil kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah 2020 oleh SPRM menunjukkan bahawa rakyat Sabah telah menzahirkan 93.3 peratus sokongan dan 83.4 peratus keyakinan ke atas usaha pencegahan rasuah di negeri ini.

“Peratusan yang tinggi ini memperlihatkan kesungguhan dan kesediaan rakyat Sabah bersama SPRM dalam usaha membanteras rasuah.

“Berdasarkan kajian juga menunjukkan Sabah antara yang terbaik dalam kesungguhan membanteras rasuah.

“Secara keseluruhan, berdasarkan kajian yang sama di peringkat nasional menunjukkan bahawa rakyat negara ini menzahirkan 86.9 peratus (sokongan) dan 75.7 peratus (keyakinan) ke atas usaha pencegahan rasuah di negara ini,” katanya.

Oleh sebab demikian, beliau telah menyarankan semua agensi berkaitan untuk terus memperbanyakkan kempen pemantapan integriti bagi terus mengatasi gejala rasuah di Sabah.

“Justeru, selaku ketua pentadbiran di Sabah, saya menyarankan agensi negeri mahupun persekutuan untuk memperbanyakkan lagi kempen pemantapan integriti dalam kalangan rakyat Sabah.

“Isu kemerosotan integriti adalah persoalan pokok yang mendorong seseorang itu untuk melakukan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat khas sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Peringkat Negeri Sabah bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Haji Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Negeri, Datuk Samsuni Mohd Nor, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai dan Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya turut menegaskan agar golongan belia khususnya di Sabah tidak melibatkan diri dengan gejala rasuah.

“Kempen penyebarluasan mesej anti rasuah turut digemblengkan oleh persatuan badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah ini khususnya kepada golongan belia.

“Mengikut kajian SPRM baru-baru ini menunjukkan daripada keseluruhan responden yang dikaji sebanyak 55 peratus golongan belia terbabit dalam gejala rasuah di negara ini.

“Angka ini amat merisaukan kita memandangkan mereka adalah pewaris pemimpin negara pada masa hadapan,” katanya.

Hajiji ketika berucap turut mengesa agar semua pihak berkaitan dan rakyat Sabah untuk bersama-sama berganding bahu dalam membanteras gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewangan di negeri ini.

Katanya, membanteras gejala rasuah juga sejajar dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang komited membanteras gejala rasuah dan mewujudkan perkhidmatan awam berprestasi tinggi dan berintegriti.

“Saya juga menekankan agar sistem dan prosedur semua agensi perkhidmatan awam negeri perlu dikaji serta diteliti agar tiada ruang dan peluang berlakunya rasuah di masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *