Tidak mustahil Perdana Menteri dari Sabah, Sarawak – Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Jeffrey Kitingan tidak menolak kemungkinan peluang pemimpin Sabah dan Sarawak menjadi Perdana Menteri semakin tinggi dengan pertambahan kerusi Parlimen di kedua-dua wilayah tersebut.

Usaha meningkatkan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak kepada 35 peratus seperti yang diumumkan baru-baru ini merupakan peluang yang baik kepada pemimpin Sabah dan Sarawak untuk lebih menonjol.

Timbalan Ketua Menteri itu Sabah berkata, tambahan kerusi Parlimen itu menggambarkan perkongsian yang adil antara tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Ini merupakan satu pengiktirafan bahawa tanpa Sabah dan Sarawak, tiada pembentukan Malaysia.

“Sebab itu tidak mustahil suatu hari nanti Perdana Menteri boleh datang dari Sabah atau Sarawak,” katanya selepas pelancaran Airasia Ride hari ini.

Menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu akur kepada aspirasi rakyat dan keadaan semasa kerana peruntukan 35 peratus kerusi parlimen itu merupakan janji yang dimeterai semasa penubuhan Malaysia.

Pada masa ini, tiada satu wilayah pun yang menguasai dua pertiga kerusi Parlimen jadi, beliau yakin SPR sebagai badan yang bijak dan praktikal akan melaksanakan tambahan kerusi itu.

Tambahnya, beliau yakin SPR akan akur dan bersetuju kepada penambahan 35 kerusi Parlimen itu.

Ahli Parlimen Keningau itu berkata, tambahan kerusi Parlimen itu tidak mungkin dilakukan dalam masa terdekat namun, diharap ia boleh dilaksana sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam pada itu, Jeffrey berkata, kerajaan negeri akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diadakan pada November ini.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mengumumkan tuntutan mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak mula dibincangkan dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *