SESB TINGKATKAN BEKALAN TENAGA ELEKTRIK KE PANTAI TIMUR SABAH 80MW

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dalam proses mempertingkatkan jumlah bekalan tenaga elektrik ke kawasan Pantai Timur Sabah kira-kira 80 Mega Watt (MW) menjelang 2023.

Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah ketika ini adalah mencukupi kerana keperluan tenaga diimport dari Pantai Barat Sabah di samping stesen janakuasa di Pantai Timur yang dianggarkan menjana hampir 200MW.

“Bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah sebenarnya mencukupi tetapi kita mahu tingkatkan lagi jumlah bekalan elektrik yang ada pada masa ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi libat urus Pengerusi TNB bersama warga SESB di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SESB Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid.

Mahdzir berkata bagi tujuan peningkatan bekalan elektrik itu, SESB melaksanakan pelbagai program iaitu membaik pulih turbin gas 18MW dan dipasang di Batu Sapi Sandakan.

Katanya, SESB juga turut memohon kepada Suruhanjaya Tenaga agar Stesen Janakuasa Serudong di Tawau dioperasikan semula yang mampu membekalkan bekalan elektrik sebanyak 33MW dan satu lagi Stesen Janakuasa Libaran, Sandakan berkapasiti 30MW.

Mengulas mengenai proses kerajaan negeri mengambil alih SESB daripada TNB, beliau berkata ia adalah rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan dan TNB akur dengan apa sahaja keputusan yang akan dibuat.

“Di TNB, kita akan teruskan usaha-usaha untuk mempertingkatkan bekalan dan kualiti bekalan elektrik di Sabah,” katanya.

Pada November tahun lepas, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata SESB akan distruktur semula secara besar-besaran bagi memastikan ia mampu berdaya saing, selain memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat negeri itu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata proses itu perlu sebelum kerajaan negeri mengambil alih pemilikannya dan mengendalikan sendiri bekalan elektrik di Sabah.

TNB memiliki 80 peratus kepentingan dalam SESB manakala selebihnya dimiliki kerajaan negeri. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *