PKPP: Sabah benarkan aktiviti masjid, surau sepanjang Ramadan mulai 12 April

KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah membenarkan pelaksanaan aktiviti masjid dan surau sepanjang Ramadan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan berkuat kuasa 12 April ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata masjid dan surau di semua zon di negeri ini dibenarkan melaksanakan solat fardu secara berjemaah dan solat Jumaat mengikut kapasiti masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

Beliau berkata solat Tarawih juga dibenarkan sebanyak lapan rakaat dengan bacaan surah-surah lazim atau ayat pendek, selain bilangan jemaah juga mengikut kapasiti masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

“Bagaimanapun, tazkirah ditiadakan sepanjang pelaksanaan solat sunat Tarawih. Begitu juga dengan jamuan berbuka puasa serta jamuan sahur di masjid dan surau turut tidak dibenarkan kecuali 12 orang ahli jawatankuasa sahaja.

“Moreh dibenarkan tetapi secara bungkus sahaja. Selain itu, aktiviti tadarus dan khatam Al-Quran, Qiamullail dan Iktikaf pula hanya dibenarkan kepada 12 orang ahli jawatankuasa masjid dan surau sahaja,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata program jabatan serta agensi agama negeri dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau seperti Kaunter Amil Zakat dan agihan bantuan zakat dengan mematuhi SOP sedia ada.

Mengulas lanjut, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata program jabatan serta agensi agama negeri dibenarkan dilaksanakan di masjid dan surau seperti Kaunter Amil Zakat dan agihan bantuan zakat dengan mematuhi SOP sedia ada.

Semua masjid dan surau di Sabah hendaklah melaksanakan setiap garis panduan serta SOP ditetapkan pihak berwajib sebagai usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 di negeri ini, katanya.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.