BN runding kerjasama dengan GRS, elak pertembungan PRU-15

KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) Sabah masih berunding dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai kerjasama untuk mengelak pertembungan sesama sendiri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata satu jawatankuasa khas sudah diwujudkan untuk melaksanakan rundingan berkenaan, namun belum ada keputusan muktamad yang dicapai setakat ini.

“Kita akan cuba bekerjasama sejauh mungkin untuk mengelak pertembungan antara BN dan GRS. Ia masih diteruskan dan akan diselesaikan apabila sampai masanya nanti.

“Perbincangan ini dilaksanakan melalui jawatankuasa khas tapi belum dimuktamadkan lagi sebab kita mahu lihat terlebih dahulu sokongan rakyat di bawah.

“Kita mahu lihat kekuatan BN dulu kerana untuk berunding kita mesti ada kekuatan, kalau tiada kekuatan tiada siapa mahu runding dengan kita,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gelombang Biru BN Kota Belud dan Tuaran, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN Sabah, Datuk Yakub Khan; Pengarah Jentera Pilihan Raya BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, yang juga Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Ketua UMNO Kota Belud, Mohd Fadli Juanas.

Sebelum ini, Ketua Menteri Sabah, yang juga Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, menyatakan UMNO dan BN bersetuju secara prinsipal untuk bekerjasama dengan GRS bagi menghadapi PRU-15.

Katanya, beliau sudah bercakap dengan pemimpin UMNO Sabah mengenai perkara itu dan ia mendapat maklum balas yang positif.

Isu kerjasama BN Sabah-GRS timbul berikutan kedudukan BN yang menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri di bawah kerjasama GRS-BN, namun parti komponen GRS, yang turut terdiri daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) menjadi seteru BN di peringkat nasional.

Bung Moktar bagaimanapun enggan mendedahkan bilangan kerusi daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah yang mahu ditandingi BN Sabah apabila kerjasama dengan GRS dimuktamadkan.

Sementara itu, beliau berkata, UMNO dan BN Sabah juga bersiap sedia menghadapi kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan serentak dengan Parlimen walaupun tempohnya masih panjang.

Mengenai soal calon, beliau berkata, semua bahagian UMNO dan BN Sabah sudah menghantar senarai untuk dianalisis sebelum dihantar kepada Pengerusi BN Pusat.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga tidak menolak kemungkinan akan mempertahankan kerusi berkenaan yang disandangnya sejak 1999 jika kepemimpinan parti mahukannya untuk bertanding semula pada PRU-15. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *