Kerajaan negeri Sabah sambut baik saranan masukkan Kaamatan, Gawai dalam rancangan Cuti-Cuti Malaysia

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah sambut baik saranan untuk memasukkan cuti pesta Kaamatan dan Gawai dalam perancangan Cuti Cuti Malaysia.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata, perayaan yang disambut itu mampu menarik pelancong untuk melihat sendiri keunikan etnik dan budaya di Sabah.

“Saya yakin dan percaya ia antara langkah terbaik dalam usaha memelihara kebudayaan dan adat agar kekal sehingga ke generasi masa depan seterusnya menyokong usaha kerajaan dalam mendepani pasca COVID-19 khususnya dalam industri pelancongan.

“Pesta Kaamatan yang juga dikenali sebagai Pesta Menuai disambut masyarakat Kadazandusun Murut di Sabah pada 30 dan 31 Mei setiap tahun sebagai tanda kesyukuran selepas berakhir musim menuai.

“Pelbagai acara kebudayaan yang diadakan termasuk pertandingan nyanyian dipanggil Sugandoi, ratu cantik atau ‘Unduk Ngadau’ dan persembahan kesenian serta kraftangan.

“Saya yakin Kaamatan ini bukan sekadar pesta budaya, tetapi juga menjadi produk penting dalam menarik pelancong dalam mahupun luar negara, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai hab pelancongan,” katanya.

Selain menjadi produk pelancongan, Jafry turut berkata perayaan ini juga mampu menjadi wadah dalam memupuk perpaduan bukan saja bagi masyarakat di Sabah tetapi juga rakyat diseluruh Malaysia.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri telah menerima saranan umum agar cuti Pesta Kaamatan dan Gawai dimasukkan dalam perancangan cuti dalam Malaysia.

Ia bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia khususnya dari Semenanjung untuk datang menyaksikan sendiri, bagaimana budaya Sabah dan Sarawak menerusi sambutan perayaan itu.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *