Pejabat ADUN Lumadan kerjasama dengan jabatan kerajaan negeri baik pulih infrastruktur

BEAUFORT: Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan bersama Jabatan Pengairan Sabah dan Jabatan Kerja Raya akan bekerjasama bagi membaik pulih infrastruktur di sekitar kawasan berkenaan.

ADUN Lumadan, Ruslan Muharam berkata, satu kertas kerja reka bentuk Lebuhraya Pan Borneo telah dibentangkan dengan mengambil kira impak banjir di kawasan Kg Batu 6 Setengah.

Katanya, pihak jururunding dari JKR turut akan membentangkan kertas kerja reka bentuk saliran air untuk lebuh raya berkenaan secara bertulis kepada beliau nanti.

“Hasil daripada pertemuan ini, semua pihak bersetuju untuk kerjasama dalam usaha mengurangkan banjir di kawasan kampung berkenaan serta sekitarnya.

“Dalam lawatan kerja ini, saya bersama JPS turut berkunjung ke Tamalangalong Tiga dan Lampaki bagi meninjau masalah saliran parit dan sungai yang telah disuarakan oleh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam selepas mengadakan lawatan kerja itu di sini, baru-baru ini.

Ruslan turut berkata pihaknya menyokong usaha kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan yang dilakukan di Tamalangalong Tigadan Kg Lampaki.

Dalam pada itu, beliau juga mengambil kesempatan meninjau kerja-kerja yang sedang dilaksanakan JPS di Sungai Apin-Apin dan Sungai Bakau.

Katanya, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan kedua-dua sungai berkenaan telah dilaksanakan dengan melibatkan kos sebanyak RM260,000 hanya untuk sejauh 3.5 kilometer.

“Keseluruhan jarak kedua-dua sungai berkenaan yang perlu diselenggarakan adalah 16 kilometer.

“Kerja-kerja pembersihan baki 12.5 kilometer sungai berkenaan akan dilaksanakan pada tahun ini ketika musim kemarau.

“Saya juga mencadangkan agar kedua-dua sungai ini diperbesarkan, saya juga berpuas hati dengan kerja-kerja ini kerana ia memberikan kesan baik kepada Kampung Bukau dan sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Ruslan turut meninjau keadaan Sungai Lumadan dan mencadangkan ianya diperbesarkan serta memasang benteng agar masalah banjir kilat dapat dikurangkan di Kampung Lumadan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.