SLS mohon semakan kehakiman ke atas isu pemberian khas kepada Sabah

KOTA KINABALU: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), hari ini, memfailkan satu semakan kehakiman ke atas isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan itu difailkan firma guaman J Marimuttu and Partners yang menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Berikutan pengumuman pada 14 April mengenai persetujuan dicapai di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, SLS memohon satu pengisytiharan antaranya bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kajian semula kedua dalam 1974 dengan kerajaan negeri adalah satu kemungkiran dan menyalahi tanggungjawabnya di bawah Perkara 112D, Klausa (1), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

SLS memohon bahawa hak 40 peratus itu masih tertunggak dan mesti dibayar Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri untuk setiap tahun kewangan berturut-turut untuk tempoh dari 1971 hingga 2021, yang mana kegagalan membayar hak itu merupakan pelanggaran hak asasi ke atas harta kerajaan Sabah dan terutama rakyat Sabah sebagaimana termaktub dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Persatuan itu juga memohon satu perintah mandamus kepada responden untuk melaksanakan satu lagi kajian semula dengan kerajaan negeri di bawah peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Ia bagi pelaksanaan pembayaran hak 40 peratus itu untuk setiap tahun kewangan berturut-turut dari 1974 hingga 2021 dalam 30 hari dan untuk mencapai keputusan dalam 90 hari dari tarikh perintah itu dan responden membayar hak itu kepada kerajaan negeri atau atas sebagai kerosakan kerana melanggar Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan atau kedua-duanya.

Faktor SLS memohon order dan relief itu adalah sebahagian daripada keputusan terkandung dalam Warta Persekutuan bertarikh 20 April mengenai kajian semula pemberian khas yang tidak disediakan untuk setiap tahun berturut-turut dari 1974 hingga 2021 yang ultra vires kepada Perlembagaan Persekutuan, melanggar keadilan asasi, tercemar dengan prosedur yang tidak sesuai, tidak rasional dan tidak munasabah serta melangkaui kesemua perkadaran munasabah.

Pemberian khas baharu bagi Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta untuk 2022, menurut kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang diterbitkan dalam Warta Persekutuan pada 20 April.

Menurut kenyataan itu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan meneruskan rundingan berkenaan tuntutan 40 peratus hasil dari Sabah.– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *