IPD Penampang tumpu operasi pemantauan SOP PKP di sektor perkilangan
PENAMPANG: Tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan industri perkilangan di Daerah Putatan dan Penampang sepanjang Op Patuh dilaksanakan, hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, DCP Datuk Mazli Mazlan berkata, polis bersama beberapa lagi agensi kerajaan lain sentiasa menjalankan pemeriksaan dari semasa ke semasa dalam usaha memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat dilandaikan.
Malah katanya, dalam operasi hari ini yang membabitkan kilang besi, kilang plastik dan pusat pemprosesan ayam juga didapati beroperasi mengikut SOP ditetapkan.
“Setakat ini, kita mendapati premis perkilangan di daerah ini mematuhi SOP dan tiada kompaun dikeluarkan sepanjang operasi ini dilakukan.
“Kita juga tidak menerima sebarang aduan membabitkan kesalahan SOP di kilang-kilang sekitar daerah ini,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan kilang di sekitar Penampang dan Putatan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim dan Pegawai-Pegawai Kanan serta anggota Polis IPD Penampang.
Operasi yang dijalankan bermula 3 petang tadi melibatkan seramai 54 pegawai dan anggota IPD Penampang serta penglibatan agensi iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sabah dan Majlis Daerah Penampang (MDP) dan Majlis Daerah Putatan.
Mengulas lanjut kepada media DCP Datuk Mazli berkata, operasi pemantauan dan pemeriksaan akan terus dijalankan bagi memastikan kilang-kilang di daerah ini tidak melanggar SOP.
“Op Patuh ini merupakan hari pertama ianya dilaksanakan serentak di seluruh negara sepertimana arahan daripada Kementerian Dalam Negeri untuk melakukan operasi besar-besaran bermula 2 Jun 2021.
“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran SOP, pihaknya akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.