Kerajaan negeri Sabah permudahkan urusan perniagaan, tarik pelabur

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempermudahkan urusan perniagaan dan mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur dalam usaha memacu perniagaan serta menarik lebih banyak pelabur ke Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata ini sejajar dengan komitmen kerajaan negeri yang mengutamakan pembangunan ekonomi negeri dan memastikan kejayaan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Rancangan Pembangunan 2021-2025).

Beliau menekankan mengenai perkara itu ketika menerima kunjungan hormat delegasi Pejabat Wilayah Sabah, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), diketuai Pengarahnya, Mohd Hijri Mat Rani, di Sri Gaya, di sini.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata pihaknya mahu MITI bekerjasama rapat dengan agensi pelaburan negeri termasuk Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) yang baru ditubuhkan bagi menarik pelabur domestik dan asing berdasarkan potensi besar Sabah ditambah pula dengan kedudukan strategiknya di rantau ini.

Semasa sesi kunjungan hormat itu, Hajiji turut dimaklumkan bahawa jumlah kelulusan pelaburan di sektor pembuatan oleh MIDA di Sabah adalah RM6.46 bilion untuk 15 projek pada tahun 2019 dan RM11.86 bilion untuk 12 projek untuk 2020 (Januari-September).

Sementara itu, jumlah perdagangan Sabah (dengan antarabangsa, Semenanjung dan Sarawak) dari Januari hingga Oktober 2020 adalah RM67.1 bilion iaitu eksport RM33.9 bilion dan import RM33.1 bilion.

Hajiji yang juga merupakan Menteri Kewangan Sabah menekankan keperluan untul meningkatkan usaha bagi memastikan beberapa prospek pelaburan yang sedang dalam rundingan akan terwujud.

Antara pelaburan tersebut ialah kilang komponen bateri kenderaan, pembuatan kaca, pengurusan pelabuhan dan industri aeroangkasa.

Pelaburan terbabit akan mewujudkan lebih dari 1,500 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah selain daripada pulangan langsung dan tidak langsung kepada negeri ini.

“Saya akan memantau semua usaha yang terlibat untuk menarik pelabur ke negeri ini. Saya perlu melihat laporan dari semasa ke semasa agar semua rancangan untuk membangunkan ekonomi Sabah menjadi kenyataan. Kami mahu rakyat dan negeri ini mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *