Taman-Taman Sabah jelas perlu kebenaran khas masuk pulau

KOTA KINABALU: Kebenaran khas adalah diperlukan untuk memasuki mana-mana kawasan kendalian Taman-Taman Sabah khususnya pulau yang kini ditutup kepada orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam satu pautan kenyataan maklum balas di laman media sosial rasmi Taman-Taman Sabah yang telah dimuat naik menjelaskan perkara terbabit bagi menjawab kenyataan pendakwah bebas, Ebit Liew yang dikatakan telah dilarang meneruskan misi bantuan di kawasan terbabit.

“Susulan daripada aduan dan kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial Ustaz Ebit Liew semalam, pihak Taman-Taman Sabah mendapati bahawa kawasan pulau di Semporna yang dimaksudkan oleh beliau adalah kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

“Sebagaimana yang telah dimaklumkan di media sosial rasmi Taman-Taman Sabah pada 12 Januari, seluruh kawasan Taman-Taman Sabah ditutup sementara kepada orang awam bermula 13 Januari selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rombongan Ustaz Ebit Liew merupakan rombongan orang awam yang tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) PKP dan pada masa yang sama pihak Taman-Taman Sabah tidak menerima makluman awal untuk kebenaran khas memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran, Semporna.

“Pihak Taman-Taman Sabah membenarkan rombongan Ustaz Ebit Liew memasuki kawasan Taman Marin Tun Sakaran hanya setelah mendapat makluman daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita sangat menyokong usaha murni bantuan prihatin yang disalurkan kepada komuniti di dalam semua Taman di seluruh Sabah,” jelas dalam kenyataan terbabit.

Selain itu, dalam kenyataan terbabit, pihak Taman-Taman Sabah turut menjelaskan dakwaan Ustaz Ebit Liew yang tidak dibenarkan membina sekolah di kawasan pulau berkenaan.

“Selain daripada itu, pembinaan struktur bangunan di dalam kawasan Taman Marin Tun Sakaran juga tertakluk kepada prosedur dan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Perkara ini berkaitan dengan kepentingan komuniti penuntut hak waris di pulau-pulau ini seperti yang terkandung dalam Surat Pewartaan Taman Marin Tun Sakaran tahun 2004,” jelasnya.

Terdahulu, media semalam melaporkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun menafikan kerajaan negeri mengeluarkan arahan melarang Ebit Lew meneruskan kerja amal di pantai timur Sabah.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *