Tandek perlu lebih banyak bangunan premis perniagaan: Hendrus
Oleh: Ranya Saai
KOTA MARUDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Hendrus Anding menggesa agar lebih banyak bangunan premis perniagaan, khasnya bangunan dua tingkat dibina di sekitar kawasan pekan daerah ini bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk Tandek.
“Pembinaan premis perniagaan perlu dipercepatkan kerana pertambahan kedai baharu di sini akan dapat mempelbagaikan fungsi penawaran keperluan dan perkhidmatan serta menarik lebih ramai pengunjung dan sudah pasti ini akan menjadikan medan pekan Tandek menjadi lebih berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan media disini hari ini.
Dalam satu tinjauan ke tapak lot kedai bersama Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Mansiung Banah, Hendrus menjelaskan bahawa tapak lot kedai itu telah ditimbus sejak tiga tahun lalu bagi cadangan membina 91 buah kedai dua tingkat di pekan ini.
“Saya berharap agar pihak LPPB dapat menyegerakan pembinaan bangunan bagi pekan Tandek. Setakat ini, hanya terdapat 12 buah premis perniagaan sahaja di pekan Tandek.
“Saya yakin, taraf hidup penduduk Tandek akan dapat dipertingkatkan di mana lebih ramai lagi akan menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan lebih banyak kedai menjual pelbagai produk dan pastinya kemudahan premis perniagaan ini mampu menjadikan penduduk lebih berdaya saing dan produktif,” katanya lagi.
Turut hadir dalam tinjauan ke tapak cadangan pembinaan lot kedai baharu terbabit, iPengarah Urusan LPPB Rosemery Ahping, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Marudu Mumin Amsah dan Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Majawap Masantun.