Isteri Ketua Menteri Sabah terima kunjungan hormat Exco Pergerakan Wanita Pusat PBS

TUARAN: Isteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag menerima kunjungan hormat daripada Pergerakan Wanita Pusat Parti Bersatu Sabah (PBS) di kediamannya bertempat di Serusup, hari ini.

Rombongan kunjungan hormat terbabit diketuai oleh Ketua Pergerakan Wanita Pusat PBS, Datin Malianah Ugau bersama enam ahli jawatankuasa (AJK) pergerakan itu.

Turut hadir dalam rombongan terbabit adalah dua orang Timbalan Ketua Wanita Pusat PBS, Datin Vicky Yee dan Rosnah Ullap; setiausaha kehormat, Stepfonie Francis P. Chan dan bendahari, Datin Mary Wong.

Juliah berkata pihaknya berharap kerjasama dengan Pergerakan Wanita Pusat PBS akan berterusan di samping merakamkan penghargaan atas kunjungan hormat terbabit.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag (enam dari kiri) bergambar bersama Exco Pergerakan Wanita Pusat PBS selepas menerima kunjungan hormat daripada pergerakan itu yang diketuai oleh ketuanya, Datin Malianah Ugau (lima dari kanan), di kediamannya di Serusup

“Saya berharap kerjasama ini akan berterusan dan hubungan silaturahim akan bertambah erat.

“Selain itu, saya juga berharap kerjasama ini akan membantu kita untuk membangunkan wanita bukan saja di peringkat parti malah paling penting di negeri ini.

“PBS juga sebahagian daripada kerajaan negeri, justeru saya berharap pemimpin wanita parti ini akan membantu kerajaan dalam usaha membawa pembangunan kepada wanita di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Mengulas mengenai penubuhan badan amal isteri wakil rakyat di negeri ini, Juliah berharap ia dapat diselesaikan dalam tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag mendengar penerangan daripada Ketua Pergerakan Wanita Pusat PBS, Datin Malianah Ugau mengenai barisan exco pergerakan itu di peringkat pusat dan daerah sempena kunjungan hormat pergerakan itu di kediamannya di Serusup, Tuaran

Sementara itu, Malianah berharap kunjungan hormat itu bukan saja untuk mengeratkan hubungan malah sebagai tanda menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai ketua menteri dan isterinya.

“Dalam kunjungan ini, saya juga memberi sedikit penerangan mengenai exco pergerakan wanita PBS selain memperkenalkan barisan exco kami,” katanya.

Dalam pada itu, Malianah turut berkata wanita PBS juga berharap satu badan amal untuk isteri wakil rakyat di Sabah dapat diwujudkan bagi memberi peluang kepada isteri wakil rakyat membantu wanita di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *