Kerajaan negeri Sabah memperincikan SOP pelancongan sewaktu PKPB

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah memperincikan prosedur operasi standard (SOP) sebagai garis panduan untuk semua pengendali pelancongan di Sabah sewaktu dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata SOP terbabit adalah tertakluk untuk aktiviti pelancongan umum, premis penginapan perhotelan dan juga aktiviti pelancongan berasaskan komuniti (CoBT).

Beliau berkata bagi aktiviti pelancongan umum, pengusaha atau syarikat pengendali pelancong diwajibkan untuk mematuhi masa beroperasi yang ditetapkan kerajaan negeri iaitu bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang sahaja

“Manakala kehadiran pelawat bagi aktiviti lawatan malam bermula dari jam 4.30 petang sehingga jam 10.30 malam sahaja dan kapasiti jumlah pelancong dalam satu kumpulan ditetapkan hanya sebanyak 50 peratus sahaja.

“Kita menetapkan kapasiti dalam satu kumpulan pelancong adalah 50 peratus bagi setiap kapasiti dan ia adalah tertakluk kepada kesesuaian tempat.

“Syarikat dilarang menjalankan perkhidmatan pelancongan bagi aktiviti atau destinasi yang dilarang oleh kerajaan sehingga dibenarkan dan promosi pelancongan menerusi penganjuran atau ekspo juga tidak dibenarkan sehingga diberi kebenaran,” katanya.

Bagi pengendali premis hotel, Masidi berkata masa beroperasi yang dibenarkan bermula jam 7.30 pagi sehingga 10 malam sahaja manakala masa kehadiran pelawat yang dibenarkan bermula jam 7 pagi sehingga 10 malam.

“Namun begitu, masa kehadiran pelawat lawatan bermalam adalah 24 jam dan kapasiti yang dibenarkan adalah 50 peratus tertakluk kepada keluasan kawasan hotel dan penjarakan fizikal,” katanya.

Masidi turut menjelaskan penggunaan fasiliti hotel seperti restoran atau kafe, surau, gymnasium, kolam renang, ‘lounge’, dewan, bilik mesyuarat dan bilik seminar serta latihan dibenarkan tertakluk dengan SOP yang sedia ada.

Sementara itu, bagi aktiviti CoBT, masa beroperasi yang dibenarkan adalah bermula jam 7.30 pagi sehingga 5 petang sahaja manakala masa kehadiran pelawat lawatan harian ditetapkan bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang sahaja.

“Kapasiti yang dibenarkan adalah sebanyak 50 peratus tertakluk kepada keluasan kawasan pelancongan berasaskan komuniti itu dan juga penjarakan fizikal,” katanya.

Masidi juga berkata peraturan semasa melawat dan berada di kawasan CoBT merangkumi semua aktiviti kecuali beberapa kawasan larangan seperti hutan simpan dan tadahan air.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan kerajaan Sabah memutuskan untuk membenarkan pelancongan domestik serta aktiviti rekreasi laut dan sungai selaras dengan keputusan pelanjutan PKPB di negeri ini bermula 7 sehingga 20 Disember ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *