503 agensi pelancongan berdaftar bakal terima bantuan ‘one-off’ RM4,000

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan memberikan bantuan ‘one-off’ sebanyak RM4,000 kepada 503 buah agensi pelancongan di Sabah yang berdaftar
dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata bantuan ‘one-off’ tersebut membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM2 juta.

“Bantuan ‘one-off’ sebanyak RM4,000 untuk setiap agensi itu adalah sebahagian dariapda peruntukan Sabah New Deal untuk aktiviti MICE manakala sebahagian lagi adalah peruntukan sedia ada dari Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

“Ia merupakan satu bantuan sekaligus penghargaan kepada sumbangan agensi- agensi pelancongan selama ini.

“Sebelum ini, beberapa perjumpaan dengan agensi pelancongan dan pengembaraan telah diadakan untuk mendengar pemasalahan yang mereka hadapi,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Jafry berharap dengan adanya bantuan khas yang disalurkan ini, semua pengusaha mampu untuk kembali aktifikan semula perniagaan masing-masing selepas kebenaran diberikan kerajaan.

“Walau bagaimanapun, saya menyeru kepada semua pengusaha pelancongan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar keyakinan pelancong kembali meningkat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata bantuan terbabit akan dibayar kepada semua pengusaha pelancongan yang layak pada bulan ini bermula minggu hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *