JKR Sabah bakal ambil tindakan segera baiki jalan, jambatan terjejas disebabkan banjir

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan mengambil tindakan segera
bagi membaiki jalan serta jambatan yang runtuh ekoran hujan lebat serta banjir yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari lepas di Sabah, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir berlaku menjadi punca banyak jalan runtuh termasuk jambatan khususnya di Pitas.

“Saya sudah menerima laporan mengenai kejadian ini dan jurutera daerah JKR di kawasan yang terlibat dengan musibah ini telah turun padang memantau serta memberikan laporan teperinci mengenai kerosakan yang dialami,” katanya.

Bung juga berkata selain daerah Pitas , pihaknya juga menerima laporan berlakunya runtuhan di daerah Kota Marudu dan Beluran.

Menjelaskan dengan lebih terperinci, antara kejadian tanah dan jambatan runtuh yang dilaporkan berlaku di daerah Pitas ialah Jalan Langkon-Pitas (KM53.05), Jalan Maringgan (KM1.7), Jalan Suang Duyung-Layak-Layak(KM0.25) ,Jalan Suang Duyung-Layak-Layak (KM 4.25) Jalan Sosop Bal (Eria kampung Rinasuk), Jalan Ulu Malubang (KM15.5) Jalan Mongkubou Laut (KM2.0) Jalan Mongkubou Laut (KM6.95) dan Jalan Telaga (kerosakan Jambatan Sungai Paparoun runtuh ekoran banjir).

“Bagi kes jalan runtuh yang tidak terlalu serius, kerja pembersihan telah pun dilaksanakan oleh pihak JKR termasuk jalan jalan dibawah jagaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsesi penyelanggaran,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri turut berkata bagi kes jalan runtuh termasuk jambatan yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi akan dinilai bagi menentukan anggaran kos pembaikan dan akan dilaksanakan segara bagi memastikan sistem perhubungan penduduk yang terlibat tidak terjejas serta dapat dipulihkan segera.

Sementara itu, Pengarah JKR, Ir .Ali Ahmad Hamid yang berada di lapangan di daerah Kota Marudu dan Pitas bagi memantau keadaan ketika dihubungi berkata kejadian hujan lebat dan banjir di daerah itu merupakan punca utama berlakunya runtuhan jalan dan jambatan.

“Kita telah menerima laporan penuh dari jurutera daerah yang terlibat dan kita akan menilai anggaran kos untuk pembaikan segera,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *