Hajiji: Hubungan Negeri Sabah – Persekutuan kukuh, mempergiatkan usaha pemulihan ekonomi

KOTA KINABALU: Hubungan kukuh Kerajaan Negeri dengan persekutuan akan membantu mempergiatkan usaha pemulihan ekonomi untuk Sabah dan menambah baik taraf kehidupan rakyat dalam era pasca pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah masih dalam pemulihan kerana selain berdepan dengan isu besar iaitu pandemik Covid-19 ia juga termasuk isu kadar kemiskinan dan pengangguran.

“Kerajaan Persekutuan telah menerima keperluan untuk Sabah melalui komitmennya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi meningkatkan pembangunan Sabah.

“Dalam semangat Keluarga Malaysia kebangsaan dan pelan hala tuju SMJ yang diterajui negeri, dengan adanya kerjasama yang lebih besar negeri dan persekutuan, ini dapat mengeratkan hubungan dan menjalin persefahaman untuk memacu pemulihan dan pembangunan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya dalam perutusannya pada pelancaran Malaysia Economic Monitor (MEM) edisi ke-26, oleh Bank Dunia, hari ini.

Menurut Hajiji, hubungan baik antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan telah membawa kepada banyak kemajuan, terkini dengan penambahan tambahan Geran Khas Negeri daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta.

“Pembiayaan tambahan ini akan digunakan untuk membina 1,500 rumah ‘Rumah Mesra’ SMJ di kesemua 73 kawasan pilihan raya negeri. Semasa lawatan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan sokongan kepada Sabah melalui beberapa dasar kerajaan untuk membantu rakyat Sabah melalui sosial dan ekonomi pembangunan.

“Ini termasuk sokongan persekutuan untuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, baik pulih dan membina semula sekolah di kawasan luar bandar, dan pelaksanaan Tegar Fasa 1 Program Pembasmian Kemiskinan di 10 lokaliti di Sabah,” katanya.

Katanya, walaupun menghadapi cabaran daripada pandemik itu, ekonomi Sabah kekal berdaya tahan.

“Ekonomi Negeri berada di landasan yang betul dan melihat tanda-tanda pemulihan. Di bawah pelaksanaan Rancangan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) Negeri, Sabah mencatatkan RM 5.449 bilion hasil pada 2021, tertinggi dalam rekod.

“Pada separuh pertama 2021, Sabah menarik RM4.4 bilion pelaburan asing, yang ketiga tertinggi selepas Kedah dan Selangor. Pelaburan utama ini melibatkan pembuatan, pelancongan dan pertanian dijangka mewujudkan hampir 10,000 pekerjaan.

“Kita juga menjangkakan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia berkuat kuasa 1 April tahun ini, akan lebih giat aktif semula sektor pelancongan Sabah,” katanya.

Hajiji turut mengalu-alukan penerbitan MEM edisi ke-26, katanya, Sabah melihat ke hadapan kepada hubungan kerja yang produktif dengan Unit Perancang Ekonomi di bawah Jabatan Perdana Menteri serta kerjasama masa depan dengan Pertumbuhan Inklusif Kumpulan Bank Dunia dan Hab Kewangan Mampan di Kuala Lumpur. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *