Kesilapan kerajaan PH punca waris Sultan Sulu tuntut pampasan

SHAH ALAM – Kerajaan harus menyiasat punca dan mengambil tindakan segera atau kedaulatan negara boleh tergadai sekiranya isu mengenai tuntutan pampasan ke atas Sabah tidak diselesaikan segera.

Pada 10 Mac lalu, peguam waris Sultan Sulu di London menyangkal dakwaan Jabatan Peguam Negara yang mendakwa identiti waris terbabit diragui kerana terdapat surat daripada kerajaan Malaysia yang mengiktiraf tuntutan itu pada tahun 2019.

Surat rasmi tersebut yang telah ditandatangani oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas turut melampirkan salinan sebenar penghakiman Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Borneo Utara, Charles F Macaskie pada 1939 bahawa Malaysia tidak mempertikaikan identiti individu tersebut dan hak mereka untuk dibayar.

Dalam surat itu, Tommy turut menyatakan rasa kesal kerana bayaran dihentikan pada 2013 selepas insiden pencerobohan Lahad Datu, selain menambah bahawa Malaysia ‘kini bersedia dan sanggup’ membayar semua tunggakan anak guam Paul Cohen dari 2013 hingga 2019 yang berjumlah RM48,300.

Dalam pada itu, Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan surat berkenaan sebagai ‘luar biasa bodoh’ menjadi punca peguam United Kingdom (UK) itu menyangkal pendirian Peguam Negara hari ini bahawa identiti waris terbabit diragui.

Najib berkata, peluang untuk menang kes menjadi rumit kerana Malaysia sudah mengaku salah dan kesal dalam surat itu.

“Sebab ini isu berat, saya nak tanya pemimpin kerajaan dahulu termasuk Tun Dr Mahathir (Mohamad), (Lim) Guan Eng dan Muhyiddin (Yassin), adakah surat yang luar biasa bodoh ini diluluskan Jemaah Menteri masa itu ataupun ia hanya surat daripada Tommy sebagai Peguam Negara sahaja,” soalnya di Facebook baru-baru ini.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pula berkata, keberanian pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu menuntut kedaulatan negeri Sabah adalah disebabkan kurang pengalaman diplomasi antarabangsa oleh bekas Ketua Menteri Sabah pada tahun 2018. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *