Asian Supply Base sedia kembang operasi di Sabah

LABUAN: Asian Supply Base Sdn Bhd dari Labuan bercadang untuk mengembangkan operasi perniagaannya ke kawasan tertentu di Sabah.

Syarikat berkaitan kerajaan negeri Sabah itu mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Perindustrian negeri daripada segi fasilitasi.

Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kementeriannya bersedia memperuntukkan tanah yang sesuai bagi membantu Asian Supply Base mengembangkan operasi asas bekalannya di Sabah.

“Kami tidak melihat sebarang halangan untuk Asian Supply Base mengembangkan pangkalan bekalan logistiknya ke Sabah dan idealnya di taman perindustrian perdana Sabah yang didedikasikan untuk aktiviti hiliran minyak dan gas Sipitang Oil and Gas Industrial Park (SOGIP).

“Ia boleh melihat opsyen memperluaskan pangkalan bekalannya di kluster perindustrian minyak sawit Lahad Datu (POIC Lahad Datu) atau di Sandakan, kami boleh memudahkan usaha di kawasan itu melalui penyediaan tanah yang sesuai untuk operasi pangkalannya,” katanya selepas melawat Asian Supply Base di sini, hari ini.


Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah III berkata, cadangan pengembangan ASB di Sabah adalah tepat pada masanya memandangkan penerokaan gas asli PETRONAS di pantai timur laut negeri itu.

Diperbadankan pada 1984, Asian Supply Base adalah hab logistik bersepadu dengan keluasan binaan 345 ekar, yang mana, tumpuan diberikan dalam penyediaan kemudahan termasuk perkhidmatan yang disesuaikan dengan keperluan syarikat minyak dan gas yang terbabit dalam penerokaan, pembangunan serta pengeluaran (EDP).

Pengerusinya, Datuk Suhaili Abdul Rahman, berkata Asian Supply Base bersedia untuk mengembangkan operasi pangkalan bekalannya ke Sabah kerana kepakaran dan pengalamannya.

“Asian Supply Base sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik penuh kerajaan Sabah, bersedia ke arah pengembangan dan kami akan menggerakkan pasukan bagi memaksimumkan pendapatan dalam bidang minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata, sejak beroperasi lebih tiga dekad di Labuan, cabang pelaburan negeri Sabah itu telah mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan di Labuan dan Sabah serta menyokong aktiviti perniagaan.

Sebanyak 88 syarikat antarabangsa termasuk domestik berkaitan minyak dan gas kini beroperasi di pangkalan operasi Asian Supply Base dengan 16 daripadanya adalah kontraktor pengaturan petroleum dan baki 71 adalah kontraktor pengaturan bukan petroleum.

-BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *