Hassan kekal ADUN Sebatik: Speaker DUN Sabah

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Status Hassan A Gani Pg Amir sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik adalah kekal dan tidak dikosongkan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata surat peletakan jawatan beliau yang dihantar oleh Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Loretto Padua ke pejabat beliau semalam adalah tidak sah (void document) berdasarkan tarikh yang tertera di dalam surat terbabit.

Menjelaskan kronologi mengenai perkara terbabit, Kadzim mengatakan semalam beliau telah menerima dokumen akuan bersumpah pembatalan surat peletakan jawatan pada jam 11:45 pagi yang disampaikan oleh Hassan sendiri sebelum ketibaan Loretto menghantar surat peletakan jawatan Hassan sebagai ADUN Sebatik.

“Semalam saya telah menerima dua dokumen yang mana dokumen pertama adalah dokumen akuan bersumpah menarik balik dan membatalkan surat peletakan jawatan yang dikatakan beliau tandatangani semasa menjadi calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.

“Dalam akuan bersumpah itu juga beliau (Hassan) menarik balik segala yang beliau katakan meletakkan jawatan dan memaklumkan bahawa beliau memutuskan untuk keluar dari parti WARISAN untuk menjadi ADUN bebas serta memberi sokongan penuh kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Selepas itu pada jam 12:15 tengah hari, satu dokumen pula disampaikan oleh Setiausaha Agung WARISAN kepada pembantu saya dan pada saya sendiri iaitu surat peletakan jawatan Hassan sebagai ADUN Sebatik. Saya telah mengambil masa untuk meneliti dokumen tersebut.

“Setelah saya meneliti kedua-dua dokumen, saya dapati surat peletakan jawatan yang disampaikan oleh WARISAN pada saya yang dikatakan ditandatangani ADUN Sebatik itu adalah pada sendirinya tidak sah,” katanya dalam sidang media di Bangunan DUN Sabah hari ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, beliau berkata tarikh 26 Februari 2021 yang tertera dengan menggunakan cop dalam surat peletakan jawatan terbabit itu tidak logik berikutan tarikh yang diletakkan adalah tarikh sebelum surat itu dihantar (undated) sedangkan surat dihantar semalam.

Menurutnya, pihaknya menolak surat peletakan jawatan yang telah ditandatangani (pre-signed letter) pada September lepas dan
mengikut undang-undang, apa-apa surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh atau ‘undated’ adalah batal.

Tambahnya lagi, Hassan sendiri juga telah menghantar dokumen yang menarik balik serta membatalkan apa yang telah dinyatakannya sebelum itu.

“Maka ini telah menunjukkan beliau tidak ada hasrat dan tiada niat untuk mengosongkan kerusi DUN Sebatik. Jadi mengambil kira kedudukan undang-undang yang ada sekarang dan surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu, maka saya mengambil keputusan bahawa kawasan DUN Sebatik kekal tidak kosong,” katanya.

Sementara itu, Kadzim juga berkata mengikut undang-undang sedia ada, sekiranya seorang ADUN yang ingin meletakkan jawatan harus menulis sendiri dan menghantar surat terbabit untuk ditujukan kepada beliau selaku Speaker DUN mengikut tarikh surat itu dibuat.

“Beliau mesti tulis sendiri surat peletakan jawatan itu dan hantar sendiri. Kenapa hantar surat melalui orang lain?

“Secara teknikal, beliau keluar dari WARISAN dan menjadi ADUN bebas yang menyokong GRS. Saya tidak mahu membincangkan soal perjanjian beliau yang lain dengan WARISAN.

“Sekiranya WARISAN tidak puas hati beliau mungkir janji, itu terserah kepada mereka untuk mengambil tindakan sivil ke atasnya.

“Apa yang saya pertimbangkan sini ialah kesahihan surat peletakan jawatan yang tidak bertarikh itu mengikut undang-undang yang ada sekarang,” katanya.

Semalam, media melaporkan WARISAN mengemukakan surat peletakan jawatan ADUN Sebatik ke pejabat DUN Sabah sebagai tindak balas berikutan tindakan Hassan meninggalkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Hassan mengumumkan beliau keluar dari WARISAN
alasan parti tersebut masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat dan memutuskan untuk menyokong kepimpinan GRS.

Sementara itu, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini berkata akan meneliti tindakan undang-undang terhadap Hassan berikutan beliau melanggar ikrar untuk tidak mengkhianati rakyat yang dilafaz dan ditandatanginya sebelum ini.

Katanya, ikrar terbabit dibuat apabila Hassan bersama pemimpin lain WARISAN dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada September tahun lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published.