100 penduduk Kampung Kompimpinan terima bantuan bakul makanan
PUTATAN: Seramai 100 penduduk Kampung Kompimpinan dekat sini, menerima bantuan Bakul Makanan B40 Kerajaan Negeri Sabah dan bantuan itu telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya Balai Raya Kampung Kompimpinan hari ini.
“Program bantuan bakul makanan ini akan terus dijalankan agar lebih ramai rakyat klita menerima manfaatnya dan kita jangkakan program ini akan selesai pada penghujung Februari atau selewat-lewatnya Mac 2021 ini.
“Setakat ini, kita telah mengagihkan sebanyak 188,000 bakul makanan berbanding sasarannya iaitu 320,000 bakul makanan,” katanya ketika berucap dalam majlis itu.
Dalam pada itu, semasa majlis itu juga, seorang pesara, Moinie Ondu, 65, yang menerima bantuan daripada program berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyenaraikan nama beliau sebagai penerima bantuan,
“Saya berpuas hati kerana kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah saya dan keluarga semasa pandemik COVID19.
“Saya berharap program seperti ini akan dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai lagi individu yang memerlukan,” jelas Moinie.
Turut menyuarakan pendapat yang sama, Pengurus Pusat Internet Komuniti, Sylvia Linus, 42, amat bersyukur atas bantuan yang diterimanya.
“Saya sangat bersyukur kerana program ini dapat membantu penduduk kampung yang majoritinya bekerja dalam bidang pertanian secara kecil-kecilan dan pendapatan mereka terkesan dengan pandemik ini,
“Saya juga melihat keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan rakyat Sabah terbela khususnya dari aspek kebajikan,” tambahnya. -SUMBER: JABATAN PENERANGAN SABAH