Aspek keselamatan perkara penting di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan memadang serius serta bersedia mempertingkatkan aspek keselamatan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, aspek keselamatan merupakan faktor  penting sekali gus memberikan kerjasama terbaik dalam perkara yang memerlukan kelulusan kerajaan negeri.

Bercakap selepas taklimat Polis Diraja Malaysia mengenai situasi keselamatan semasa di Sabah diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di Menara Kinabalu di sini hari ini, Hajiji berkata, keselamatan negeri adalah yang paling utama dalam agendanya.

“Saya telah membangkitkan isu ini sepanjang masa. Terkini semasa mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) semalam yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya sudah meminta penambahan peruntukan bagi mengukuhkan aset keselamatan kita khususnya di Pantai Timur,” katanya.

Ketua Menteri mengulangi gesaannya agar pos keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia – Indonesia di Pulau Sebatik dinaik taraf.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji melawat tiga pos luar PGA iaitu Burs Point, Wallace Bay dan Sungai Melayu awal minggu ini.

Dalam taklimat itu, Ketua Menteri diberitahu bahawa dua batalion PGA baharu akan di tempatkan di Nabawan dan Kunak sebagai tambahan kepada lima batalion sedia ada di negeri ini.

Dengan tujuh batalion PGA, Sabah akan mempunyai kehadiran PGA terbesar di negara ini.

Turut dicadangkan penubuhan Komando Skuadron 69 di Lahad Datu, pangkalan baharu marin polis Sabah di Kampung Lok Poring, Sepanggar dan pusat latihan polis atau Pulapol di Kampung Laya-Laya, Tuaran.

Mengenai permintaan peluasan kawasan di pangkalan unit udara polis di Tanjung Aru, Hajiji memaklumkan ia telah pun diluluskan. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published.