Gerai Sinalau Bakas dikompaun RM50,000 jelas langgar SOP – Polis Sabah

KOTA KINABALU – Gerai menjual babi hutan panggang atau ‘sinalau bakas’ di Jalan Sulaman yang telah dikenakan kompaun RM50,000 baru-baru ini, jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata kompaun yang dikeluarkan kepada peniaga tersebut adalah tindakan wajar dan bukan dibuat sesuka hati tanpa budi bicara.

“Operasi yang dijalankan pada 26 April lepas (Isnin lepas) adalah berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam. Pengadu mendakwa gerai berkenaan sering memainkan muzik serta karaoke sehingga lewat malam dan mengganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar.

“Gerai berkenaan beroperasi menjual daging babi hutan panggang selain menjual minuman keras kepada pengunjungnya. Pemeriksaan lanjut turut mendapati gerai berkenaan tidak memiliki lesen perniagaan, lesen menjual minuman keras dan lesen hiburan awam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hazani berkata gerai berkenaan juga tidak mempunyai permit jual beli daging buruan daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS).

“Polis mendapati banyak kesalahan dilakukan selain bukti bergambar berhubung SOP di gerai berkenaan. Tindakan yang diambil pihak polis amat jelas berlandaskan undang-undang dan menggunakan kuasa budi bicara yang amat tinggi,” katanya.

Hazani berkata penularan kisah peniaga dikompaun itu menerusi kenyataan sebelah pihak yang ditularkan di media sosial adalah satu bentuk provokasi kepada pasukan keselamatan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menggunakan media sosial untuk menegakkan benang yang basah sehingga memberi gambaran polis sebagai zalim dan tidak menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.