Telupid terima 6,000 bantuan bakul makanan
Oleh: Ranya Saai
TELUPID: Telupid telah menerima sebanyak 6,000 bantuan bakul makanan dibawah bantuan prihatin COVID19, 2.0 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan bagi golongan B40.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonnybone J. Kurum menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah di atas keprihatinan menyalurkan bantuan makanan untuk penduduk kawasannya.
“Bagi mewakili penduduk kawasan Telupid, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas bantuan yang telah diberikan.
“Memandangkan Telupid merupakan DUN yang baharu dan terletak jauh di pendalaman, agak sukar untuk penduduk di sini keluar ke pekan untuk membeli makanan dan bantuan ini pasti dapat membantu serta meringankan beban dalam mendapatkan bekalan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat-kuasa,” katanya dalam satu kenyataan selepas sesi penyerahan bantuan bakul makanan bertempat Dewan Serbaguna Majlis Daerah Telupid, di sini.
Menurutnya, semalam sebanyak empat kampung dalam mukim Liwogu, iaitu Kampung Baba, Kampung Ansuan, Kampung Berayong dan Kampung Kiabau menerima bekalan terbabit terlebih dahulu.
Edaran bakul makanan dikendalikan oleh Pejabat Daerah Telupid dengan bantuan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Bantuan akan diedarkan secara berperingkat kerana ruang dewan serbaguna tidak cukup untuk menempatkan stok yang banyak. Manakala, baki yang seterusnya bagi 37 buah kampung akan diagihkan esok dan seterusnya.
Dalam pada itu, Jonnybone turut mengingatkan supaya semua rakyat kawasan Telupid agar terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID19.
Katanya, ini penting bagi mengembalikan aktiviti ekonomi dan sosial kembali pulih supaya rakyat boleh menjana pendapatan semula.