JKR Sabah bertindak segera baiki jalan runtuh di Ranau: Bung Moktar
Oleh: Ranya Saai
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan mengambil tindakan segera untuk membaiki jambatan yang runtuh bertempat di Kampung Tahubang, Ranau, semalam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau telah menerima laporan tersebut dari JKR Ranau mengenai kejadian terbabit dan telah turun padang untuk tujuan pemantauan.
Menurutnya, beliau juga sudah meminta jurutera daerah Ranau menyediakan laporan terperinci dan difahamkan, laporan serta anggaran kos pembaikan telah dikemukakan ke ibu pejabat JKR.
“Untuk kes seperti ini kita akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk memperbaikinya,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Bung berkata sebuah jalan alternatif akan dibuat sementara menunggu proses membaiki jambatan baharu siap dilaksanakan.
Langkah terbabit diambil sebagai jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek bagi mengatasi kesukaran penduduk yang melalui kawasan itu.
Semalam, sebuah jambatan konkrit yang merentasi Sungai Tagubang runtuh ekoran berlakunya hakisan pada malam Isnin lepas sehingga tular di laman media sosial.