Maritim Sabah berjaya tahan bot nelayan Vietnam

𝗞𝗢𝗧𝗔 𝗞𝗜𝗡𝗔𝗕𝗔𝗟𝗨: Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan sebuah bot nelayan asing bersama lima warga Vietnam di kedudukan sekitar 17.1 batu nautika dari Pulau Mantanani, pada jam 9.00 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli bin Abdullah berkata, tangkapan ini merupakan susulan daripada rangkaan strategi khas di bawah Op Naga Timur dan Op Kuda Laut, khusus bagi membanteras serta memerangi isu pencerobohan bot nelayan asing di perairan negeri Sabah.

Salah satu strategi yang dirangka ialah dengan mengenal pasti kawasan-kawasan potensi atau titik panas (hotspot) pencerobohan bot nelayan asing di perairan Sabah dan Labuan. Pulau Mantanani dikesan dan dikenal pasti sebagai salah satu kawasan tumpuan bot-bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam untuk melabuhkan pukat bagi menjarah serta mengaut hasil laut negara secara haram.

Bot berserta lima kru termasuk tekong berusia lingkungan 17 hingga 40 tahun, ditahan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, iaitu berada di dalam perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Pengarah Perikanan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan sebarang bukti pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.

Jika didapati bersalah, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM6 juta manakala kru boleh didenda RM600,000 setiap seorang atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.Bot serta nelayan tersebut telah diiring masuk ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut. Perairan Sabah dan Labuan turut diancam aktiviti pencerobohan oleh nelayan Vietnam.

Pada tahun 2019 Maritim Negeri Sabah merekodkan 12 tangkapan bot nelayan Vietnam. Manakala tiga tangkapan serta dua pengusiran bagi tahun 2020, dan tiga tangkapan dalam tahun ini di perairan Labuan, Kudat dan Kota Kinabalu.Operasi membanteras kemasukan bot nelayan asing terutamanya dari Vietnam akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.

Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan akan terus kekal komited dan tegas dalam menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan perairan negara terutamanya di Sabah aman dan selamat untuk semua pengguna. Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim untuk untuk terus bekerjasama memberikan informasi dan maklumat berkenaan salah laku jenayah atau perkara kecemasan yang berlaku di perairan negara ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau melalui talian kecemasan MERS 999.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *