PBS tetap tolak lamaran WARISAN
KENINGAU: Parti Bersatu Sabah (PBS) tetap menolak lamaran Parti Warisan (WARISAN) untuk menjalin kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata parti itu komited kekal setia bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disertai sejak Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), dua tahun lalu.
Beliau berkata, kesetiaan PBS hanya kepada GRS dan menyifatkannya sebagai pilihan yang terbaik dan harus diberi sokongan kuat.
“PBS tetap setia dengan GRS. Kamu tahulah, ada saja lamaran,” katanya pada Program Jelajah GRS Parlimen Keningau, yang dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, di sini, hari ini.
Walaupun tidak menyebut nama parti yang melamar itu, Joniston dipercayai merujuk kepada WARISAN, yang mengulangi hasrat untuk bekerjasama dengan PBS seperti dinyatakan presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu semalam.
Joniston, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata PBS kekal menyokong GRS kerana ia selari dengan perjuangan parti berkenaan sejak ditubuhkan lebih 30 tahun lalu.
Katanya, kehadiran GRS memberi wadah baharu kepada parti politik tempatan di Sabah untuk bekerjasama dan bergabung sebagai sebuah pasukan yang besar.
“Apabila GRS muncul, ada wadah lebih besar, rumah lebih besar. Semua parti komponen memiliki kekuatan sendiri dan apabila digabungkan semua parti komponen dan parti yang mesra dengannya, bayangkan kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata, PBS juga akan memastikan GRS menang semua kerusi ditandingi pada PRU akan datang memandangkan ia adalah ujian pertama bagi GRS selepas didaftar sebagai gabungan politik rasmi pada Mac lalu.
Terdahulu, pada sidang medianya semalam, Mohd Shafie mengulangi kesediaan WARISAN bekerjasama dengan PBS pada PRU-15, khususnya di kawasan Kadazandusun Murut (KDM).
Beliau pernah menyatakan perkara sama sebelum ini, namun ditolak Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, yang menyatakan PBS tetap bersama dengan GRS.
Selain PBS, GRS turut disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). -BH