Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan undang pelbagai reaksi di Sabah

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan bermula 26 Februari ini menerima pelbagai respons daripada masyarakat.

Dimomokkan dengan kesan sampingan vaksin itu, Norfianah Jual, 31, yang berasal dari Kampung Binsuluk, Beaufort berpendapat, tiada alasan untuk seseorang itu tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID19. 

“Ia adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab kita sebagai masyarakat prihatin dalam membantu memutuskan rantaian jangkitan. 

“Pandemik yang melanda bukan hanya memberi kesan terhadap kesihatan, malah terdapat golongan yang menerima tamparan dari segi ekonomi dan tekanan emosi. 

“Oleh yang demikian, menangkis persepsi negatif serta memberikan kerjasama dalam program imunisasi yang dilancarkan adalah sumbangan yang dapat diberikan dalam membantu Malaysia pulih semula,” ujarnya. 

Sementara itu, bakal mencecah status warga emas, Dong Suan, 56, dari Kampung Chinta Mata, Tenom memberi jawapan pasti dalam mendapatkan suntikan vaksin. 

“Sudah tentu saya akan mengambil vaksin itu nanti! Saya berusia dan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus COVID19. 

“Selain itu, program imunisasi adalah sinar harapan untuk bebas bergerak jika dibandingkan dengan kehidupan sekarang yang perlu duduk di rumah kerana risau akan jangkitan,” jelas pemandu teksi itu. 

Tambah Dong, maklumat jelas mengenai program itu perlu diterangkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa agar lebih ramai berani tampil menerima vaksin itu nanti. 

Sependapat dengannya, Benyamin Badus, 28, berasal dari Kampung Bongawan, Papar berkata suntikan vaksin COVID19 merupakan langkah berkesan dalam mengekang penularan wabak tersebut. 

“Namun begitu, usaha dalam mendidik masyarakat perlu dijalankan secara giat bagi membasmi pemahaman terhadap kesan negatif vaksin yang tidak jelas sumbernya. 

“Sekiranya dapat diketengahkan impak positif dialami negara lain yang terdahulu menjalankan program imunisasi vaksin COVID19 ini, ia dapat meningkatkan lagi keyakinan masyarakat,” kongsinya pula. 

Tatkala terdapat golongan yang menghebahkan bahana pengambilan vaksin menerusi laman media sosial peribadi, masih ramai yang bijak mencari maklumat melalui sumber sahih dan kajian yang terperinci. 

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dalam rancangan ‘Ruang Bicara’ terbitan Bernama TV mengesahkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi orang pertama menerima vaksin itu nanti. – SUMBER: JABATAN PENERANGAN SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *