Empat PTI ditahan, seludup minyak masak dan racun ikan
KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya menahan dua bot dikendalikan empat pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Filipina dalam satu operasi khas yang dijalankan di perairan Kudat kelmarin.
Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Boon Chin Chau berkata, bot pertama ditahan kerana disyaki menangkap ikan menggunakan racun dan bot kedua pula disyaki cuba melakukan aktiviti menyeludup keluar barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.
โTangkapan dibuat hasil maklumat risikan dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia ditugaskan bagi melaksanakan operasi khas berkenaan serta berjaya menahan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran bersama dua warga Filipina berumur 22 dan 30 tahun yang disyaki melakukan kegiatan menangkap ikan menggunakan racun pada jam 6.45 pagi, kelmarin.
โBot terbabit dikesan pada kedudukan lebih kurang dua batu nautika selatan Pulau Lingkutan Pulau Banggi, Kudat,โ katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemukan peralatan meracun ikan (sujum) dalam bot berkenaan. Manakala sebuah lagi, bot enjin sangkut bersama dua penumpang yang juga warga Filipina berumur 48 dan 56 tahun dikesan di kedudukan lebih kurang 2.2 batu nautika di tempat yang sama pada jam 8 pagi.
โSetelah diperiksa mendapati, bot berkenaan membawa barangan yang dikategorikan sebagai barang kawalan bersubsidi iaitu minyak masak paket berjumlah 323 kilogram tanpa surat kebenaran daripada pihak berkuasa.
โKegiatan penyeludupan minyak masak ke negara jiran masih berlaku berikutan harga runcit pengguna untuk minyak masak jenis paket satu kilogram lebih rendah di Malaysia berbanding pasaran negara jiran,โ katanya.
Katanya, pemeriksaan lanjut juga mendapati, kedua-dua bot berkenaan tidak mempunyai lesen serta individu yang terlibat tiada dokumen pengenalan diri yang lengkap semasa diperiksa.
Tangkapan bersama barang rampasan termasuk dua bot berserta enjin sangkut dan enjin pam dianggarkan bernilai RM37,307.50.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi ke Filipina) yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kes meracun ikan, di bawah Akta Perikanan 1985 (menangkap ikan menggunakan racun) membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta bagi nakhoda dan RM100,000 bagi setiap anggota kru.
Manakala kes tidak memiliki suatu pas yang sah di dalam Malaysia, di bawah Akta Imigresen 1959/63, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih enam kali sebatan.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di laut kepada Maritim Malaysia di talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam. -Sabah360