Kadar kes akan terus meningkat selagimana jumlah populasi penduduk yang menerima vaksin belum mencapai nilai signifikan -Masidi

KOTA KINABALU : Jurucakap rasmi Covid-19 negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, menegaskan bahawa kadar kes jangkitan Covid-19 di negeri itu akan terus meningkat sehingga jumlah populasi penduduk yang menerima suntikan vaksinasi mencapai nilai yang signifikan.

Masidi percaya kes melebihi angka 1,000 kes yang berlaku di negeri Sabah wajar untuk dijangkakan melihat kepada kadar penerimaan suntikan vaksinasi di negeri tersebut masih berada pada peratusan yang sangat rendah.

“Setakat kelmarin, jumlah penerima suntikan vaksinasi dos pertama adalah seramai 1,126,645 orang,” katanya.

Tambahnya lagi, sebanyak 40.8% penduduk dewasa negeri tersebut telah menerima suntikan dos pertama dan hanya 17.6% daripada populasi penduduk menerima suntikan lengkap vaksinasi Covid-19.

Masidi turut memberitahu bahawa keadaan semasa, di mana virus sudah berada dan tular dalam kalangan rakyat menjadikan kerja penjejakan mangsa jangkitan sukar untuk dilakukan. Malah, Masidi memberitahu bahawa perintah berkurung belum cukup efektif dalam menangani pandemik Covid-19 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *