Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah fasa pertama bakal siap tahun 2040

KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah fasa pertama masih dalam proses pelaksanaan tertakluk kepada perbelanjaan pembangunan yang bergantung kepada keupayaan kewangan semasa negara serta perancangan di dalam Rancangan Malaysia Ke Dua Belas (RMK12) 2021-2025.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata berdasarkan kepada pengumuman Belanjawan 2021 oleh Kementerian Kewangan Malaysia, hanya satu pakej daripada baki 20 diluluskan pada tahun 2021.

“Melalui unjuran yang dibuat, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menjangkakan hanya lima hingga enam pakej sahaja dapat dilaksanakan di dalam RMK12 dan hanya dapat menyiapkan 21 daripada 35 pakej sehingga tahun 2028.

“Manakala, keseluruhan 35 pakej fasa satu dijangka hanya akan disiapkan pada tahun 2040,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pihaknya memberi komitmen untuk menjalankan keseluruhan pakej projek terbabit secara serentak dengan mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk membenarkan kerajaan negeri melaksanakan Projek LPB Sabah secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Katanya, projek LPB Sabah akan dilaksanakan secara berperingkat melalui tiga fasa pelaksanaan di mana fasa pertama meliputi pembinaan lebuh raya sepanjang 706 KM dan merangkumi 35 pakej kerja tidak termasuk tiga pakej tambahan. Kos yang dianggarkan adalah RM15.272 bilion.

Bung menjelaskan projek fasa satu telah dilaksanakan melalui Konsep ‘Project Delivery Partner’ (PDP) pada 11 April 2016 yang menjadikannya sebagai ‘Single Point of Accountability’ dalam pelaksanaan LPB di Sabah.

“Melalui Perjanjian PDP ini juga, kaedah pembiayaan LPB Sabah adalah melalui terbitan sukuk dan perbelanjaan pembangunan.

“Walau bagaimanapun, pada tahun 2019, kerajaan negeri Sabah telah mencadangkan kerajaan persekutuan untuk menamatkan khidmat PDP dan seterusnya menamatkan perjanjian PDP.

“Pada 21 September 2019, khidmat dan perjanjian PDP telah ditamatkan dan mengakibatkan pelaksanaan Projek LPB Sabah bergantung sepenuhnya kepada perbelanjaan pembangunan dan projek terbabit dilaksanakan oleh JKR Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) dan Senator Datuk Abdul Ghani
Mohamed Yassin (BERSATU-Nabawan) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Bung turut berkata sebanyak sebelas pakej kerja sedang dilaksanakan manakala empat pakej lagi akan dimulakan pelaksanaannya pada awal tahun hadapan.

Baki 20 pakej kerja lagi akan dilaksanakan dalam RMK12 dan pelaksanaannya dirancang pada tahun 2021.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *