Kerajaan negeri giat promosi Sabah menerusi platform digital
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah giat mempromosikan pelancongan negeri ini menerusi platform digital selain kempen fizikal bagi menggalakkan pelancongan domestik.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya menerusi Lembaga Pelancongan Sabah telah merangka beberapa strategi baharu untuk dilaksanakan bagi menarik pelancong domestik ke Sabah.
“Sejak bulan Mac lepas sehingga kini, Lembaga Pelancongan Sabah telah melaksanakan pelbagai aktiviti promosi khusus bagi pasaran domestik seperti
penyertaan di empat pesta pelancongan atas talian iaitu Online MATTA Fair, MITA e-Travel Fair, Weddings Malaysia Virtual Fair dan Go Lokal Online Fair.
“Kita menganjurkan lawatan suai kenal untuk para blogger, media serta agen pelancongan di samping menerbitkan risalah dan video berkaitan dengan prosedur operasi standard (SOP).
“Kementerian turut menganjurkan kempen digital #BahMarilah sebagai platform untuk pengusaha pelancong mempromosikan pakej mereka, ahli Malaysian Association of Hotels, ejen pelancongan dan pengusaha produk pelancongan.
“Selain itu, kita juga tidak ketinggalan mewujudkan kolaborasi dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines dan AirAsia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Mohamaddin Ketapi (WARISAN – Segama) mengenai langkah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bagi memulihkan keyakinan pelancong domestik untuk datang ke Sabah ketika persidangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jafry turut menambah pihaknya juga mengadakan kolaborasi strategik bersama syarikat penerbangan bagi mempromosikan laluan domestik terbaharu iaitu Kuala Terengganu – Kota Kinabalu (AirAsia) dan Penang – Kota Kinabalu (Firefly) yang dijangka akan bermula pada suku pertama 2021.
Jafry berkata penularan wabak COVID-19 tidak menghentikan aktiviti promosi malah diteruskan dengan mengambil pendekatan yang berbeza iaitu dengan mempergiatkan promosi melalui platform digital bagi mengekalkan kesedaran terhadap Sabah sebagai destinasi pelancongan.
Tamat