Cubaan seludup minyak masak, diesel di Beluran tumpas
KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya mematahkan penyeludupan 9,690 kilogram (kg) minyak masak peket dan 5,000 liter diesel dalam sebuah kapal di Sungai Kolapis, Beluran pada Selasa.
Pengarah Pejabat KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan jam 3.30 petang itu dilakukan oleh sepasukan anggotanya serta dibantu anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran.
Menurutnya, pihaknya telah menjalankan risikan selama tiga minggu dan kesemua barang rampasan dipercayai akan dijual ke negara jiran.
“Seorang lelaki warga tempatan dipercayai penjaga kapal turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan awal, penjaga kapal yang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1,904,975 dan sebagai tindakan lanjut, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.
“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.
Georgie berkata, siasatan lanjut terus dijalankan bagi mengenal pasti rantaian kegiatan ini.
“Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya. -SH