Kerajaan negeri bakal sediakan Dasar Biomass Kelapa Sawit dan Dasar CPO Negeri Sabah

KOTA KINABALU: Ketiadaan dasar yang berkaitan dengan bio-jisim dan minyak kelapa sawit mentah (CPO) menyebabkan Sabah menghadapi masalah kekurangan bekalan bahan mentah khususnya bio-jisim kelapa sawit.

Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata perkara terbabit menjadikan kegiatan pemprosesan hiliran minyak kelapa sawit di negeri ini agak sukar.

“Perkara ini juga disebabkan kita belum ada dasar yang berkaitan dengan bio-jisim dan minyak kelapa sawit mentah atau CPO.

“Isu ini akan diberi perhatian serius dalam perancangan program pembangunan bagi meningkatkan industri aktiviti hiliran berasaskan minyak kelapa sawit oleh kementerian saya.

“Dalam inisiatif Sabah Maju Jaya, kementerian saya akan menyediakan Dasar Biomass Kelapa Sawit dan Dasar CPO Negeri Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim turut berkata pihaknya juga akan meneliti cadangan untuk mewujudkan satu badan khusus untuk mengendalikan industri kelapa sawit di negeri ini.

“Dalam konteks ini, kementerian saya akan meneliti cadangan ini secara wajar dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkepentingan mengenai sama ada menubuhkan Lembaga Kelapa Sawit Sabah (SPOB) atau Majlis Penasihat Kelapa Sawit Sabah,” katanya menggulung perbahasan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Sementara itu, Joachim yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah itu turut berkata pihaknya juga sedang menyediakan hala tuju pembangunan industri hiliran perkayuan selaras dengan hasil kajian Sabah Forest and Timber Industry Master Plan yang sedang disiapkan.

“Melalui pendekatan ini, pengurusan sumber bahan mentah dapat diselaraskan dengan keperluan pemain industri hiliran khususnya keperluan kilang perabot.

“Selain itu, kementerian saya juga sedang membincangkan penubuhan Majlis Tindakan Petroleum and Gas Sabah (SOGAC) agar industri ini turut berkembang secara lestari dan juga satu suara dalam usaha kita berbincang dengan pihak PETRONAS,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *