Kerajaan negeri Sabah bentang Belanjawan Sabah 2021 bernilai RM4.3 bilion

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah membentangkan Belanjawan Sabah 2021 membabitkan peruntukan berjumlah RM4.3 bilion dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) di Kota Kinabalu, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata belanjawan terbabit secara keseluruhan khusus dengan memfokuskan pembangunan ekonomi negeri demi kesejahteraan rakyat.

Bertemakan ‘Rakyat Sejahtera, Ekonomi Mampan’, dirangka berteraskan aspirasi dan komitmen kerajaan dengan slogan Sabah Maju Jaya bagi menanamkan semangat, nilai murni dan kebertanggungjawaban agar rakyat supaya bersatu dan bekerjasama membina kemajuan serta kejayaan negeri.

“Bagi merealisasikan matlamat tema belanjawan ini, kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan Belanjawan Tahun 2021 berjumlah
RM4,303.26 juta berbanding anggaran kutipan hasil sebanyak RM4,481.96 juta, dengan Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) berjumlah RM178.70 juta.

“Kita akan mengurus sebaiknya untuk memastikan kedudukan kewangan kerajaan negeri adalah dalam keadaan yang stabil,” katanya.

Hajiji yang juga merupakan Menteri Kewangan Sabah, ketika membentangkan belanjawan pertama kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata menerusi belanjawan terbabit, strategi untuk merancakkan pembangunan akan tertumpu kepada pertumbuhan sektor produktif negeri utama membabitkan pertanian, perindustrian dan pelancongan.

“Pada tahun 2021, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM931.21 juta bagi pembangunan ketiga-tiga sektor tersebut.

“Jumlah tersebut adalah RM34.89 juta atau bersamaan 3.89 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan tahun 2020 iaitu sebanyak RM896.32 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM600 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar pada Januari tahun hadapan yang melibatkan peruntukan sejumlah RM8.7 juta.

“Saya berharap agar insentif ini akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

“Pada masa yang sama, adalah diharapkan perkhidmatan awam dapat terus berfungsi dengan berkesan melalui strategi dan pendekatan normal baharu yang bersesuaian serta mematuhi tuntutan norma baharu dalam tempoh penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Hajiji turut berkata, sejajar dengan aspirasi Perkhidmatan Awam Negeri untuk menyediakan keperluan sumber manusia masa hadapan, kerajaan negeri sentiasa memberikan keutamaan terhadap pembangunan keupayaan dan kompetensi sumber manusia.

“Usaha pendigitalan perkhidmatan awam dan ekonomi digital akan menjadi fokus utama pada tahun mendatang.

“Rasionalisasi agensi-agensi kerajaan negeri akan terus dilaksanakan bagi memastikan keberhasilan dan keberkesanan sistem penyampaian kerajaan.

“Sehingga November tahun ini, jumlah anggota perkhidmatan awam negeri yang menerima manfaat peningkatan kerjaya adalah seramai 762 orang. Jumlah tersebut merupakan 5.26 peratus daripada 14,492 kapasiti anggota perkhidmatan awam negeri di kementerian, jabatan dan pejabat daerah.

“Program peningkatan kerjaya anggota perkhidmatan awam ini akan diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata pihaknya juga mengambil berat terhadap bebanan golongan ibu bapa kategori M40 dan B40 dalam membiayai perbelanjaan pendidikan anak mereka.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan memperuntukkan sebanyak RM12.0 juta pada tahun hadapan sebagai bantuan kepada anak Sabah yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT), pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam yang bakal menghadapi peperiksaan.

“Bantuan ini melibatkan dua kategori iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) secara ‘one-off’ berjumlah RM2,000 seorang untuk kemasukan kali pertama ke IPT.

“Selain itu, RM200 seorang untuk Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semester akhir Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi penghujung tahun 2021,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *