Kerajaan Negeri Sabah pertimbangkan cadangan pengorekan pasir mendalamkan Sungai Padas atasi banjir

BEAUFORT: Kerajaan negeri Sabah mempertimbangkan cadangan untuk mendalamkan Sungai Padas menerusi pengorekan pasir sebagai langkah mengatasi masalah banjir, di sini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata cadangan terbabit sudah lama dirancang pihaknya sebelum ini.

“Ini satu cadangan yang sebenarnya memang sudah lama dirancang oleh kerajaan negeri di mana mungkin perlunya Sungai Padas ini diperdalamkan dan juga aliran air itu diluruskan.

“Kita telah melantik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), iaitu Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO)
untuk mengendalikan dan menguruskan perkara ini dan kita akan teruskan usaha ini supaya masalah banjir di Beaufort akan dapat dikurangkan.

“Antaranya ialah pengorekan pasir di sungai dan juga cadangan lain yang telah disampaikan daripada Pegawai Daerah Beaufort dalam taklimat tadi berkenaan beberapa cara serta usaha untuk mengurangkan banjir di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Pak Musa di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Shahelmy Yahya,
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam dan ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Hajiji berkata pihaknya akan melaksanakan projek mendalamkan sungai dengan kaedah yang sama di Kuala Abai, Kota Belud bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap melanda kebelakangan ini.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *