Pembentangan belanjawan Sabah akan dibentang hari ini
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal membentangkan belanjawan pertamanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Pembentangan belanjawan yang dijadualkan bermula jam 3 petang nanti bakal dibentangkan oleh Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Hajiji Noor.
Dalam pada itu, sesi perbahasan belanjawan oleh wakil rakyat akan bermula selama tiga hari berturut-turut bermula pada 21 Disember sehingga 23 Disember, minggu hadapan.
Dijangka pembentangan belanjawan terbabit akan memfokuskan usaha dan langkah kerajaan negeri untuk memulihkan sektor ekonomi serta rakyat yang terjejas disebabkan pandemik COVID-19.
Pada Rabu lepas, persiapan akhir belanjawan berkenaan telah dilakukan dan diteliti pihak kerajaan negeri bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS).
Persiapan terbabit dilakukan oleh Hajiji bersama Menteri Kewangan II, Datuk Masidi Manjun, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Rusdin Riman, Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Jasni Daya serta Penasihat Kewangan kepada Ketua Menteri, Datuk Peter Thien.