Sekumpulan lelaki curi kabel TM di Tuaran ditangkap

TUARAN: Polis Daerah Tuaran berjaya menangkap sekumpulan lelaki yang sedang leka mencuri kabel Telekom Malaysia (TM).

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata kesemua suspek yang berumur 20 hingga 34 tahun itu menjalankan kegiatan itu kira-kira jam 4 petang di sebuah jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tajau Termenung di sini.

Katanya tindakan kesemua suspek dengan berselindung di sebalik ‘vest’ dan kenderaan syarikat kontraktor berdaftar tidak berjaya mengaburi mata pengawal keselamatan TM sebelum bertindak menahan kumpulan terbabit dan  menghubungi pihak polis.

“Sebaik menerima maklumat kejadian,  sepasukan anggota dan pegawai polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek didapati melakukan pemotongan kabel tembaga sepanjang kira-kira 190 meter.

“Turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam aktiviti mencuri kabel tembaga milik TM berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sini.

Mohd Hamizi berkata, siasatan mendapati semua suspek yang ditahan adalah pekerja di sebuah syarikat sub kontraktor yang bertanggungjawab membuat pemasangan kabel optik Unifi TM.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnnya lapan kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini.

“Polis percaya, rampasan kes kali ini termasuk kabel tembaga dianggarkan bernilai RM25,000 berdasarkan harga pasaran semasa 

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *