Kerajaan negeri Sabah setuju Yang di-Pertuan Agong perkenan Proklamasi Darurat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bersetuju keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos sebagai langkah mengekang penularan pandemik wabak COVID-19.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19 adalah satu keutamaan terutamanya Sabah yang merekodkan antara jumlah kes positif tinggi.

“Keperluan untuk mengekang penularan virus ini dan melindungi kesihatan orang ramai adalah sangat penting,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media hari ini melaporkan selain memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan satu jawatankuasa bebas yang akan dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkait.

Baginda memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung COVID-19 selepas menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Negara, semalam.

Keputusan terbabit dibuat sehari selepas Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di semua kawasan zon merah termasuk Sabah yang berkuat-kuasa esok.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *