Jumlah kutipan zakat tahun ini lebih dari sasaran

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah mengutip zakat penggajian sebanyak RM44,178,232,88 daripada 41,218 pembayar
dan zakat perniagaan sebanyak RM23,036,857.46 daripada 3,872 pembayar bagi tahun ini.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata pembayaran zakat penggajian dilakukan menerusi tiga kaedah.

“Melalui kaedah pembayaran Skim Potongan Zakat Berjadual, sejumlah RM43,224,246.21 yang telah dikutip daripada 36,764 pembayar.

“Selain itu, sejumlah RM336,075.79 dikutip dari kaedah pembayaran menerusi kaunter pejabat daripada 879 pembayar manakala melalui kaedah pembayaran menerusi atas talian, sejumlah RM617,910.88 telah dikutip daripada 3,486 pembayar,” katanya.

Sementara itu, Arifin turut menjelaskan bagi zakat perniagaan telah dikutip menerusi dua kaedah pembayaran.

“Melalui kaedah pembayaran di kaunter pejabat, sejumlah RM22,508,080.87 telah dikutip daripada 578 pembayar, iaitu RM282,857.85 daripada 238 orang dan RM22,225,223.02 daripada 340 syarikat.

“Dari kaedah pembayaran menerusi atas talian pula, sejumlah RM528,776,59 telah dikutip daripada 3,294 pembayar iaitu RM555,786.63 daripada 2,588 orang dan RM255,847.81 daripada 706 syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Fairuz Renddan (BERSATU – Pintasan) mengenai jumlah zakat penggajian dan zakat perniagaan bagi tahun 2020 yang telah dikutip Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) setakat ini di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Selain itu, Arifin turut menambah jumlah kutipan zakat di negeri Sabah bagi tahun 2020 adalah sebanyak RM90 juta secara keseluruhan dan sasaran agihan zakat sebelum ini berjumlah RM80 juta.

“Setakat 17 Disember lepas, zakat yang telah diagihkan kepada golongan asnaf yang berhak berjumlah RM83,616,889.89 dan angka ini telah melepasi sasaran agihan zakat tahun ini.

“Selain itu, terdapat sembilan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM5,480,108.95 manakala 16 GLC Persekutuan telah membayar RM12,293,887.05.

“Kesimpulannya, terdapat 25 GLC negeri dan persekutuan telah membayar zakat perniagaan dengan bayaran keseluruhan berjumlah RM17,773,986.00,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *