UMS tumpu usaha lonjak modal insan Malaysia setaraf negara maju

KOTA KINABALU, 5 Dis: Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi tumpuan kepada usaha melonjak pembangunan modal insan untuk menjadikan rakyat negara ini setaraf dengan negara maju lain di dunia, kata Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.

Beliau berkata komitmen tersebut merupakan keinginan semua pihak untuk menyumbang secara lebih aktif dalam memastikan Malaysia sebuah negara berdaya saing dalam aspek akademia di mata dunia termasuk pengukuhan budaya ilmu.

“Sesungguhnya kemudahan prasarana dan pelbagai kepakaran di UMS tidak akan menyumbang pencapaian aspirasi pemartabatan budaya ilmu, tanpa usaha menyeluruh warga UMS dan sokongan pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Taufiq berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan, Sains Sosial dan Teknologi (ICEST 2020) yang diadakan dua hari di sini, secara maya bermula Khamis.

Beliau menegaskan usaha memastikan pencapaian aspirasi pengukuhan budaya ilmu adalah selaras dengan objektif utama persidangan ICEST 2020 bagi mewujudkan platform perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran berkaitan bidang pendidikan, sains sosial dan teknologi dalam kalangan peserta.

Taufiq yakin masyarakat yang komited dalam aktiviti perkongsian ilmu melalui penganjuran persidangan akan turut menyumbang kepada prestasi dan peningkatan produktiviti untuk diri dan negara khususnya negeri Sabah.

Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Dr Mistirine Radin, Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS Prof Madya Dr Lai Yew Meng.

Pengerusi ICEST 2020 Prof Madya Dr Mohd Sohaimi Esa dan Presiden Association of Malaysian Researchers and Social Services (AMRASS) Dr Mohd Nor Jaafar turut hadir.

Dalam ucaptamanya, Mohammad Shatar menyatakan kaedah pengajian secara maya dewasa ini telah menjadi amalan global, namun dalam konteks Malaysia, usaha memperluas liputan jalur lebar masih menjadi keutamaan untuk memastikan semua pelajar memperoleh akses di manapun mereka berada.

Mistrine dalam ucaptamanya turut melihat penggunaan kaedah maya dalam pembelajaran mahupun pengumpulan maklumat kajian semakin mempermudah kalangan pengkaji untuk menjangkau informan atau responden dalam melengkapkan kajian.

Persidangan tersebut disertai lebih 200 peserta dengan pembentangan lebih 150 kertas kajian pelbagai pengkaji dari dalam dan luar negara.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *