UNICEF, JPAS Sabah laksana program pemantauan kualiti udara di sekolah

KOTA KINABALU:Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah hari ini mengumumkan projek bersama pemantauan kualiti udara untuk sekolah di Sabah.

Pengarah JPAS Sabah Vitalis J. Moduying berkata projek ‘Air Quality Monitoring in Schools’ (AQUAMS) itu akan memantau kualiti udara di sekolah-sekolah dan menyasarkan untuk mewujudkan program pemantauan kualiti udara sains masyarakat di negeri ini.

Beliau berkata Projek AQUAMS akan dilaksanakan bagi tempoh 12 bulan yang melibatkan pembangunan kapasiti, penglibatan dengan sekolah dan masyarakat serta penerbitan buku panduan.

“Bersama-sama dengan UNICEF, kami harap dapat melaksanakan sistem pemantauan iklim dan kualiti udara di seluruh negeri untuk melindungi kualiti udara daripada terus merosot. Kami berharap dapat meningkatkan kerjasama dalam sokongan teknikal, perkongsian data dan pembangunan pelan tindakan serantau mengenai kesihatan persekitaran kanak-kanak.

“Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran isu pencemaran udara serta pelbagai masalah alam sekitar di Sabah termasuk antara lain pengurusan sisa dan pencemaran air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, kenyataan itu menyebut satu kajian mendapati peningkatan kekerapan dan intensiti taufan yang menjejaskan penduduk dan kanak-kanak di Pulau Gaya, menyebabkan kenaikan dalam penyakit berjangkit, gangguan akses ke sekolah dan mengehadkan akses kepada bekalan dan perkhidmatan asas.

Kajian itu dijalankan oleh UNICEF Malaysia bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertajuk ‘Impact of Climate Change on Children: A Malaysian Perspective’ (ICCC) yang dilancarkan pada 2021.

Menurut kenyataan itu, laporan ICCC menyeru pembuat dasar dan pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan dan swasta serta inovator sosial agar mengambil tindakan iklim segera di Malaysia.

Wakil UNICEF ke Malaysia dan Wakil Khas ke Brunei Dr Rashed Sarwar berkata perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar boleh dikatakan satu-satunya ancaman terbesar kepada pelaksanaan hak kanak-kanak yang secara berterusan mengurangkan dekad kemajuan global dalam meningkatkan kebajikan kanak-kanak.

“UNICEF sebagai organisasi terbesar dunia dalam memperjuangkan hak kanak-kanak, akan terus menerajui dalam melindungi hak kanak-kanak untuk persekitaran yang selamat, bersih, sihat dan mampan,” katanya dalam kenyataan itu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS Prof Madya Dr Ramzah Dambul berkata isu perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar semakin berleluasa secara global, dan Malaysia tidak terkecuali.

“Memandangkan purata suhu permukaan terus meningkat, negara dijangka mengalami sistem cuaca yang semakin tidak menentu. Bagaimanapun, kanak-kanak secara konsisten diabaikan dalam reka bentuk dan kandungan dasar iklim,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.