Masalah bekalan air bersih di Telupid masih membelenggu penduduk

KOTA KINABALU: Masalah bekalan air bersih di daerah Telupid masih membelenggu penduduk di sana sehingga menimbulkan kerisauan mengenai kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Jonneybone J Kurum berkata pihaknya memohon kepada kerajaan negeri menerusi pihak berkaitan agar dapat membantu mengatasi masalah terbabit.

“Saya menyahut baik Belanjawan Sabah 2021 yang dibentangkan Jumaat lepas di mana kerajaan memperuntukan sebanyak RM529.89 juta kepada Jabatan Air Negeri Sabah.

“Oleh yang demikian, saya menyeru agar Jabatan Air Negeri Sabah dapat mengatasi masalah bekalan air bersih yang dikendalikan oleh Jabatan Air Daerah Telupid di mana sehingga hari ini, bekalan air yang digunakan adalah tidak bersih.

“Penduduk masih menggunakan air hujan sebagai kegunaan harian mereka disebabkan risau untuk menggunakan air yang tidak terjamin kebersihannya,” katanya.

Selain masalah bekalan air bersih, beliau turut berkata pihaknya juga memohon agar menaik taraf jalan-jalan utama Jalan Telupid-Sandakan, Telupid-Ranau dan jalan setiap kampung di daerah Telupid demi memberikan kemudahan infrastruktur di samping turut menjelaskan sistem pengairan serta saliran perlu diperbaiki.

Beliau berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Selain itu, beliau yang juga merupakan wakil rakyat dari Parti Bersatu Sabah (PBS) itu turut memohon kepada kerajaan negeri menerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) agar membina lebih jumlah rumah mampu milik di Telupid.

“Pewujudan rumah mampu milik ini bagi mereka yang layak memiliki rumah yang lebih selesa. Saya juga memohon memohon rumah kos rendah dibina di Dun Telupid.

“Ini akan mengalakkan penerokaan lebih banyak kawasan baharu di Telupid. Ini sudah semestinya akan mendorong peningkatan dalam taraf hidup rakyat menceburkan diri dengan apa-apa peluang yang berkaitan dengan ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, Jonneybone juga memohon agar fasiliti kesihatan dan sekolah di Telupid dinaik taraf terutamanya segi kemudahan fasiliti dan infrastruktur demi kesejahteraan penduduknya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *