Perlawanan persahabatan antarabangsa pendedahan berguna

Tiga perlawanan persahabatan antarabangsa di Indonesia banyak memberi pengajaran dan pendedahan kepada semua barisan pemain Sabah FC bagi mempersiapkan pasukan untuk meneruskan saingan Liga Super dan Piala FA selepas ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata pasukannya yang memperoleh satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan menerusi tiga perlawanan persahabatan itu dilihat cukup baik dan berkualiti.

Menurut Kim Swee, pasukannya juga dilihat dapat memperbaiki corak permainan dan mengekalkan momentum para pemain.

“Apabila kita bermain dengan mana-mana pasukan sekalipun, sudah tentu ada kelemahan dan saya akan pastikan seminggu ini kita perbaiki kelemahan kita apabila pulang ke Kota Kinabalu, Sabah nanti.

“Pada perlawanan terakhir menentang Persiba Balikpapan, kita mensia-siakan peluang yang banyak dan beberapa pemain tidak menunjukkan prestasi yang agak baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kim Swee berkata sudah menjadi kebiasaan apabila bermain dengan mana-mana pasukan Liga Dua ataupun Divisyen Dua pasti mereka akan memberi satu saingan sengit.

“Namun tanpa dibolosi ketika menentang Persiba Balikpapan itu lebih penting untuk kita bawa ke perlawanan akan datang iaitu menentang Sri Pahang FC kerana mereka mempunyai pemain-pemain yang cukup bagus apabila Liga Malaysia bersambung semula,” katanya.

Pada tiga perlawanan persahabatan itu, Sabah FC berjaya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Persija FC; tewas kepada Bhayangkara FC (1-2) dan seri 0-0 menentang Persiba Balikpapan.

Sabah FC akan meneruskan perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang pada 18 Jun ini di Stadium Likas sebelum bertemu Selangor FC di Stadium MBPJ pada 28 Jun. – Sabah FC

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *