Kongres AMK: Tolak kerjasama dengan Dr Mahathir, henti mengemis dengan WARISAN

KUALA LUMPUR: Sebarang kerjasama PKR dengan Tun Dr Mahathir Mohamad harus ditolak kerana bekas Perdana Menteri itu mengkhianati perjanjian menyerahkan kuasa kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Ahmad Saifullah Razali, berkata tindakan Dr Mahathir juga yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas memerintah selama 22 bulan.

“Selain mengkhianati perjanjian, Dr Mahathir tidak memperjuangkan idealisme perjuangan reformasi dan gagal melaksanakan agenda ‘reform’ ketika menjadi Perdana Menteri.

“Dr Mahathir juga menjadi beban kepada mana-mana parti yang beliau sertai, mempunyai sejarah meletak jawatan tanpa berbincang dengan ketua parti komponen PH selain tidak memiliki wawasan serta visi yang jelas untuk terus menjadi pemimpin politik di negara ini,” katanya

Tegasnya, PKR harus menolak secara ‘total’ sebarang kerjasama dengan Dr Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu sendiri sebelum ini sudah menyatakan enggan lagi bekerjasama dengan PH.

“Beliau sepatutnya sudah bersara tetapi apa motifnya untuk terus aktif? Pastinya ada udang di sebalik batu.

Kepada pimpinan PH, teruslah memandang ke hadapan dan perkukuhkan lagi kekuatan antara rakan komponen,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Terengganu, Yuslaini Azmi yang mencadangkan usul menyokong penuh Anwar sebagai Perdana Menteri, berkata hanya Presiden PKR itu yang banyak bersuara memperjuangkan nasib rakyat ketika negara menghadapi ancaman pandemik COVID-19.

“AMK konsisten menyokong penuh Anwar sebagai Perdana Menteri. Terbukti apabila delegasi negara luar sering bertemu dan menjemput beliau dalam forum selain pertemuan dua hala dalam membincangkan isu di dalam dan luar negara.

“Ada yang mendakwa kejatuhan PH disebabkan Anwar, saya ingin tegaskan bahawa beliau tidak pernah berada dalam Kabinet PH dan sebab itu beliau tidak wajar dipersalahkan,” katanya.

Sementara itu, wakil Sabah, Wendy Agung Baruh, menggesa PKR supaya memberi tumpuan 100 peratus dalam memperkasakan PH.

“Berhenti mengemis dengan pihak luar termasuk parti dipimpin Dr Mahathir dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang jelas mempunyai agenda peribadi sama seperti ketika mereka bersama UMNO lima tahun lalu,” katanya.- BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *