DAP tak ikhlas bekerjasama dengan WARISAN

KOTA KINABALU: Pelawaan DAP untuk bekerjasama dengan Parti Warisan (WARISAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dibuat secara tidak ikhlas, kata Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petagas berkata, dalam menghadapi PRU-15, keikhlasan penting bagi menjalin kerjasama tanpa mengenakan sebarang syarat.

Katanya, adalah suatu yang agak melucukan apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyatakan DAP akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang mereka menang di Sabah.

“Bukankah itu sudah meletakkan satu syarat (untuk kerjasama itu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam Loke dilaporkan berkata, kerjasama dengan WARISAN untuk PRU-15 berkemungkinan tidak berlaku, kerana tidak mendapat sambutan daripada parti itu dan menyatakan untuk bekerjasama, keikhlasan diperlukan daripada kedua-dua pihak.

Loke juga menafikan beliau angkuh apabila menyatakan DAP mahu mempertahankan kerusi Parlimen mereka pada PRU-15 iaitu Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan.

Sementara itu, Awang Ahmad turut menempelak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe kerana menuduh Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai seorang yang hipokrit.

“Ada beberapa contoh sikap hipokrit DAP yang perlu ditonjolkan. Satu yang paling ketara ialah keengganan mereka melaksanakan tuntutan Sabah ke atas 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan pada ketika (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

“Kini mereka memfailkan tindakan undang-undang bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa formula itu masih terpakai. Satu waktu yang amat tidak sesuai. Kenapa sekarang ini ketika mereka menjadi pembangkang dan pilihan raya semakin hampir,” katanya.

Awang Ahmad berkata, terdapat juga contoh lain kegagalan DAP melaksanakan janji mereka kepada rakyat, bukan saja di Sabah tetapi di seluruh negara.

Semalam Jin Zhe yang juga Setiausaha DAP Sabah, menyelar Mohd Shafie Apdal kerana menuduh parti itu angkuh ketika berunding kemungkinan bekerjasama pada PRU-15, dengan menuduh Presiden WARISAN itu sebagai hipokrit.

Pada Jumaat lalu, 13 wakil rakyat Sabah daripada Pakatan Harapan (PH) memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai 40 peratus hasil hak Sabah yang diperoleh Kerajaan Persekutuan dari Sabah setiap tahun. โ€“ BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *