ADUN Kukusan umum keluar WARISAN

KOTA KINABALU: Seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Warisan (WARISAN), keluar parti itu hari ini, menjadikan enam wakil rakyatnya sudah mengambil langkah sama sejak tahun lalu.

Perkembangan terbaru menyaksikan ADUN Kukusan, Rina Jainal, mengumumkan keluar WARISAN pada sidang media yang diadakan bersama Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, di sini.

Rina sekali gus menyerahkan borang permohonan menyertai Harapan Rakyat yang menyatakan pendirian mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan keluar WARISAN dilakukan atas kerelaannya sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana pihak, dan akan meneruskan perjuangan untuk rakyat.

Katanya, beliau kini menyokong GRS-BN yang diketuai oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Tindakan saya ini tidak dipengaruhi mana-mana pihak dan tiada perselisihan antara saya dengan pimpinan WARISAN sebelum ini.

“Ia atas faktor rakyat di kawasan saya wakili kerana hanya GRS dapat membangunkan ekonomi setempat, setakat ini,” katanya.

Sebelum ini, lima wakil rakyat yang turut keluar WARISAN ialah Hassan A Ghani Pg Amir (ADUN Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (ADUN Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (ADUN Segama/Ahli Parlimen Lahad Datu), Datuk Peter Anthony (ADUN Melalap), dan Datuk Juil Nuantim (ADUN Limbahau). -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *