PRU15: UMNO nafi tolak kerjasama dengan BERSATU, PN

KUALA LUMPUR (Berita Harian): UMNO menafikan laporan beberapa media yang mendakwa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15).

Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO menegaskan, sebarang kenyataan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah tidak sahih, melainkan ia datang daripada kenyataan rasmi parti atau kepemimpinannya.

“Ibu pejabat (UMNO) memandang serius berita yang tular berkaitan keputusan mesyuarat MKT, kelmarin.

“Sebarang laporan, spekulasi dan kenyataan media lain tidak boleh dirujuk sebagai pendirian atau kenyataan rasmi parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan pemimpin UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dan PN pada PRU15.

Laporan yang memetik sumber dalaman parti itu dikatakan hasil pertemuan kepemimpinan UMNO di Janda Baik, Pahang, kelmarin.

Keputusan itu dikatakan membawa kemungkinan UMNO akan bertanding atas tiket sendiri pada PRU akan datang. -SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *