Perkasa Srikandi bantu parti hadapi PRU akan datang

KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Biro Latihan dan Pemerkasaan Parti Srikandi BERSATU Malaysia, Mizma Apedullah berkata usaha bagi memperkasa jentera Srikandi akan terus dilakukan demi membantu parti itu dan sebagai persediaan untuk menempuh Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, hasrat itu adalah seiring dengan hasrat Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Seri Rina Harun dan Naib Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Wira Mas Ermiyati Samsudin.

“Saya memahami hasrat ketua dan naib ketua kita yang memang menginginkan satu perubahan baharu dalam Srikandi kerana perubahan baharu yang lebih baik ini pastinya akan menjadi elemen penting yang mampu membawa kepada kekuatan jentera Srikandi yang akan membantu parti kelak.

“Bagi Biro Latihan dan Pemerkasaan Parti Srikandi BERSATU Malaysia, kita pastinya akan melaksanakan sebaiknya semua agenda yang telah dirancangkan dan akan terus membantu mendukung hasrat ketua dan naib ketua kita,” kata Mizma dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mizma yang juga merupakan Exco Srikandi BERSATU Malaysia turut menjelaskan beliau secara peribadi juga mempunyai harapan untuk memastikan semua gerak kerja dan tugasan yang dilakukan dalam jentera mampu dilakukan sebaiknya dan melibatkan kerjasama semua ahli Srikandi.

“Semoga yang berpengalaman mampu memberi dan menyumbang tunjuk ajar kepada yang baharu dan kurang berpengalaman, dan saya juga berharap agar negara kita terus mencapai keharmonian dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekaligus rakyat di seluruh negara Malaysia dan negeri Sabah tercinta kekal menikmati perpaduan dan penyatuan,” katanya.

Terdahulu, Mizma yang merupakan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Segama juga turut mengadakan kunjungan hormat Biro Latihan dan Pemerkasaan Parti Srikandi BERSATU Malaysia kepada Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Beliau bersama rombongan turut mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Datuk Wira Mas Ermiyati Samsudin dan juga Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun di pejabat mereka.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *