COVID19 percepat pertumbuhan ekonomi digital

KUALA LUMPUR (Berita Harian): Pandemik COVID19 mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital dan seterusnya membantu mengukuhkan daya tahan ekonomi.

Dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menjelaskan, perkembangan teknologi digital yang semakin berkembang menyaksikan ekonomi digital bakal menjadi asas kepada ekonomi moden.

Di kebanyakan negara, ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti ekonomi dipacu oleh e-dagang, bekerja dari rumah dan perkhidmatan penghantaran makanan yang dipesan secara dalam talian.

Di samping itu, aplikasi pengesanan kontak juga membantu mengekang penularan virus di samping membolehkan perniagaan meneruskan operasi.

Bagaimanapun, pendigitalan dalam semua aspek kehidupan turut meningkatkan risiko jurang digital.

Ini kerana kekurangan akses kepada internet dan peranti pintar mengehadkan peluang golongan yang kurang bernasib baik mendapatkan pendidikan yang berkualiti, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pekerjaan dan manfaat lain.

Selain itu, dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menjelaskan penggunaan yang tidak bertanggungjawab dan kelemahan teknologi digital menghakis kepercayaan.

Berdasarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF), penipuan data dan serangan siber adalah antara 10 risiko teratas terhadap kestabilan ekonomi dan kesepaduan sosial.

Menurut WEF, peningkatan risiko digital itu boleh memberi kesan kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap ekonomi digital.

Dalam pada itu, kemajuan teknologi digital menjadikan kemahiran konvensional tidak relevan sekali gus menyaksikan individu yang memiliki kemahiran digital yang terhad akan terkesan kerana automasi dan teknologi akan menyebabkan kehilangan pekerjaan.

WEF menganggarkan 75 juta pekerjaan di seluruh dunia akan digantikan oleh teknologi digital pada tahun hadapan.

Bagi Malaysia, ekonomi digital membuka peluang kepada negara untuk memanfaatkan impak yang luas dan transformatif.

Ia berupaya mempengaruhi beberapa komponen iaitu masyarakat dengan membabitkan peluang pekerjaan baharu untuk pekerja gig serta berkemahiran digital.

Bagi komponen perniagaan, teknologi digital mewujudkan model perniagaan baharu yang mengganggu amalan tradisional, namun ia mewujudkan pasaran lebih besar dan luas untuk aktiviti komersial.

Untuk komponen kerajaan pula, ia akan menjadikan penyampaian perkhidmatan awam lebih baik menerusi peningkatan skop serta kualiti.

Hakikatnya, ekonomi digital adalah hasil daripada Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) yang tercetus daripada penerima gunaan teknologi digital yang meluas.

Perubahan yang berlaku pada masa ini adalah sangat pantas yang tidak pernah terjadi dalam sejarah.

Ia juga memberi kesan kepada hampir semua industri di dunia dan mentransformasi kaedah pengeluaran, pengurusan dan pentadbiran.

Lonjakan penerimagunaan teknologi digital daripada 4IR dan pengintegrasian data akan mempercepat pertumbuhan ekonomi digital.

Di bawah 4IR, teknologi digital memangkin ekonomi digital serta bidang ekonomi lain termasuk ekonomi hijau dan ekonomi kitaran.

Seiring dengan perkembangan teknologi digital yang semakin meluas, domain digital akhirnya akan bergabung dengan domain fizikal dan domain biologi.- SUMBER: BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *